SHAH ALAM 30 Jan. - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim
diingatkan agar lebih berhati-hati apabila mengeluarkan kenyataan
berhubung kedudukan negara Israel kerana ia boleh menyentuh perasaan
umat Islam di seluruh dunia.
Setiausaha Agung Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Dr. Mohd. Roslan
Mohd. Noor menegaskan, pihaknya boleh menerima penjelasan yang diberikan
oleh Anwar bahawa beliau menyokong agar tiadanya hubungan diplomatik
dengan rejim Zionis ekoran kenyataan kontroversinya mengenai 'sokongan
terhadap usaha memberikan perlindungan kepada keselamatan Israel'.
Namun, katanya, Anwar perlu membuktikan terlebih dahulu bahawa The Wall Street Journal (WSJ) tidak memetik sepenuhnya kenyataan beliau itu.
''Kita nasihatkan beliau (Anwar) agar tidak mengulangi kenyataan sedemikian kerana ia memberikan impak besar," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Anwar dalam wawancaranya dengan WSJ pada Khamis lalu yang antara lain memetik; ''Saya sokong usaha untuk melindungi keselamatan Israel''.
Mohd. Roslan yang juga Pensyarah Kanan Jabatan Tamadun dan Sejarah
Islam Universiti Malaya berkata, apa yang diperkatakan oleh Anwar itu
membabitkan isu antarabangsa dan ia perlu mengambil kira perjuangan
rakyat Palestin yang lama tertindas oleh rejim Zionis.
''Semenjak Palestin dijajah pada 1917 hingga hari ini, rakyatnya
hidup dalam sengsara, terbuang dan menjadi pelarian. Hak rakyat Palestin
mesti terus dibela," katanya.
Justeru, beliau meminta agar tidak ada mana-mana pihak termasuk para
pemimpin politik di negara ini menimbulkan sesuatu yang menyebabkan
rakyat Palestin terus dihina.
''Umat Islam perlu membela rakyat Palestin. Kerajaan mesti
mengelakkan diri daripada mengadakan hubungan dengan Israel dan
agensinya selagi Israel tidak mengiktiraf negara Palestin.
''Kerajaan perlu desak Israel agar berundur dari tanah yang diceroboh
dan mendesak mereka berundur ke sempadan," katanya yang juga lulusan
Pengajian Islam Jurusalem.
/hwa: utusan.com.my | 31/1/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan