KUALA LUMPUR 30 Jan. - Tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang
menyatakan sokongan terhadap usaha untuk melindungi keselamatan negara
Israel dilihat sebagai satu bentuk pengkhianatan terhadap Palestin dan
umat Islam keseluruhannya.
Penasihat Yayasan Keamanan Global Perdana Malaysia (PGPF), Datuk
Mukhriz Mahathir berkata, ini kerana rejim Zionis telah melakukan
pelbagai kekejaman terhadap penduduk Palestin sejak sekian lama.
Menurut beliau, bukan sahaja penduduk Palestin, sukarelawan dan
aktivis kemanusiaan yang cuba menghulurkan bantuan di Palestin juga
turut terkena 'tempias' kekejaman Israel apabila konvoi bantuan mereka
diserang serta disekat untuk melaksanakan misi berkenaan.
''Jika pengganas termasuk negara pengganas menzalimi mangsanya,
patutkah kita bersimpati dengan mereka (pengganas) atau bersimpati
dengan mangsa?
''Setiap kali Zionis Israel membunuh rakyat Palestin, mereka menggunakan alasan mempertahankan keselamatan negara.
''Alasan yang sama juga digunakan apabila jentolak Israel merobohkan
rumah-rumah rakyat Palestin di Tebing Barat,'' katanya dalam satu
kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas wawancara Anwar dengan The Wall Street Journal Khamis lalu mengenai pendiriannya yang menyokong semua usaha untuk menjaga keselamatan negara Israel.
Mukhriz berkata, Israel tidak seharusnya 'dibela' setelah ramainya
penduduk di Gaza dibunuh, beratus-ratus resolusi Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dilanggari, aktivis Flotila Kebebasan
ditembak mati dan sukarelawan PGPF ditahan kerana membawa bekalan
bantuan.
''Kini seorang yang bercita-cita tinggi menjadi Perdana Menteri pula
menggunakan alasan yang sama dalam menyokong negara pengganas Israel.
''Anwar mengkhianati Palestin dan umat Islam sedunia. Malah,
masyarakat dunia berbilang agama yang menuntut keadilan bagi Palestin
juga turut terkejut dengan kenyataan Anwar yang sebelum ini menonjol
dirinya sebagai pemimpin Islam,'' tambahnya.
/hwa: utusan.com.my | 31/1/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan