PIHAK yang bertanggungjawab tidak boleh lagi
mengharapkan parti-parti politik, agensi kerajaan atau Suruhanjaya
Pilihan Raya (SPR) untuk mendaftarkan pengundi baru. Ini apa lagi untuk
memujuk kalangan orang Melayu mendaftar diri.
Bukan niat untuk memperkecil atau memperlekehkan komitmen parti,
agensi atau suruhanjaya berkenaan, tetapi kalau dilihat daripada 3.7
juta orang yang layak mendaftar namun tidak berbuat demikian, kita semua
maklum majoriti hampir 2 juta ialah orang Melayu.
Untuk orang Melayu, pihak yang akan pergi kepada mereka dalam memujuk
termasuk merayu supaya mendaftar tidak lagi boleh bersandarkan kaedah
lama - 'anda kena mengundi untuk negara atau di manalah tanggungjawab
anda'. Tidak, tidak lagi pendekatan cara itu.
Sebaliknya, mereka kenalah menerjah kedai-kedai kopi, restoran,
khutbah-khutbah Jumaat dengan menggunakan saluran-saluran NGO,
Jawatankuasa Kawalan dan Keselamatan Kampung atau apa sahajalah cara
yang melibatkan sentuhan dari hati ke hati untuk menggesa mereka
mendaftar.
Sebab - realitinya politik masa depan Malaysia banyak bergantung
kepada orang Melayu, lantaran bilangan mereka sudah melebihi 54 peratus.
Namun malang sekali, sikap sebilangan besar orang Melayu dikesan
tidak ambil peduli tentang kepentingan mendaftar sebagai pengundi
apabila mencapai usia 21 tahun atau lebih. Padahal mendaftar sebagai
pengundi hanya mengambil masa kurang dari 15 minit.
Apatah lagi kali ini meskipun bilangan orang Melayu sudah melebihi 54
peratus tadi namun kaum itu berpecah pula kepada UMNO, Pas dan PKR.
Dalam aluran ini, Melayu kena wajib berfikir secara tuntas kalau terus
mahu mengepalai kepimpinan kerajaan di negara ini.
Antara yang turut risau dengan sikap longlai lesu orang Melayu bila
tiba 'bab mendaftar ini' ialah Mohd. Jurit Ramli yang mengetuai Gabungan
NGO Malaysia (GNM) selaku setiausahanya. Beliau mengirimkan coretan
menerusi SMS kepada penulis, yang katanya perlu direnung-renungkan oleh
orang Melayu.
"Orang Melayu Islam yang tidak mengundi menanggung dosa dan perlu
bertanggungjawab atas sebarang kehilangan kuasa orang Melayu dan
sebarang penghinaan terhadap Islam apabila orang Melayu kehilangan kuasa
politik.
"Ini disebabkan 3 juta orang Melayu yang belum berdaftar, maka
seluruh orang Melayu harus bertanggungjawab memberi penjelasan kepada
setiap orang Melayu yang tidak mengundi. Rayu dan jelaskanlah kepada
mereka," kata Mohd. Jurit yang juga bekas anggota MALBATT yang pernah
bertugas di Bosnia Herzegovina dalam kancah perang Balkan pada era
1990-an.
Hakikatnya, kalau diimbas balik kenyataan Pengerusi SPR tempoh hari
tentang pendedahannya bahawa sebahagian besar orang Melayu yang layak
tetapi enggan mendaftar - memang menakutkan. Alasan terlalu sibuk dengan
urusan harian sehingga tiada masa untuk mendaftar dan lebih teruk dan
dangkal lagi 'tidak ada perubahan besar akan berlaku dengan hanya satu
undi' memang agak sukar untuk diterima rasionalnya.
Jika secara sinis dan kritis, kita boleh sebutkan di sini kepada
orang Melayu tentang real politik dan keadaan politik semasa negara yang
memang menyaksikan orang Melayu semacam cemas, bimbang dan keliru
dengan politik semasa. Kerana itu, orang Melayu harus insaf, sedar
tentang masa depan yang tidak menentu dan di kala pecahan parti-parti
Melayu ketika ini yang dibimbangi akhirnya akan gagal mempertahankan hak
dan keistimewaan Melayu dan agama.
Dan walaupun politik di negara ini sedang merangka pembaharuan atau
transformasi, namun kematangan politik dilihat masih pada tahap yang
rendah. Dengan jelas lagi - ia masih lagi berada dalam kerangka politik
perkauman.
Apabila melihat perkembangan parti tertentu mengatur sokongan kaum
Cina termasuk dikatakan berlaku 'penghijrahan atau sebenarnya pemindahan
besar-besaran pengundi ke Selangor', maka jelaslah 'mereka' masih
berpaksikan kepada politik perkauman yang dimanipulasikan sebagai
demokrasi total. Sedangkan BN atau UMNO dikatakan masih terikat kepada
perjuangan realiti untuk mengubah negara dengan kemajuan yang lebih
pesat.
"Sehingga hari ini, dominan Cina dalam politik semakin terserlah.
Kehadiran parti berkenaan dikatakan sudah diterima dan mereka telah
dikatakan sebagai pejuang kaum yang lebih signifikan daripada
parti-parti komponen dalam BN sendiri," kata seorang pemerhati kepada
penulis.
Kata pemerhati itu lagi: "Banyak petunjuk telah ada. Memberi mereka
apa yang mereka mahu tidak menjamin sokongan. Dan toleransi Melayu
dilihat pula masih di tahap tertinggi dan sanggup sekali lagi akur
kepada kehendak.
"Dengan parti terbabit yang semakin jelas membawa sentimen perkauman
dan mendapat sokongan kaum Cina, maka BN perlu segera mencari formula
bagi mengaut kembali sokongan khususnya orang Melayu bagi mengimbangi
sokongan menyeluruh kaum Cina terhadap parti berkenaan."
Realitinya, orang Melayu masih belum terlambat untuk mendaftar diri
sebagai pengundi. Tetapi anda kenalah 'bergerak terus ke pejabat pos'
mulai pagi ini.
Berdasarkan rekod terkini SPR, dianggarkan kira-kira 300,000
berdaftar sebagai pengundi baru termasuk menukar alamat bermastautin
dalam setiap suku tahun. Namun itu bukan bermakna apabila mereka
berdaftar, terus serentak atau sekali gus disahkan untuk menjadi
pengundi pada PRU13.
Dan katakanlah Parlimen dibubarkan sekitar bulan depan atau April ini
untuk memberi laluan kepada PRU-13, maka mereka yang mendaftar dalam
suku keempat 2011 akan menjadi pengundi yang paling bernasib baik untuk
menentukan pucuk kepimpinan negara masa depan. Tetapi bagi 300,000 orang
yang baru berbuat demikian pada Januari, bulan ini dan Mac depan,
'alamatnya wasalamlah'.
Sebabnya, apabila habis pendaftaran dalam tiga bulan ini, nama mereka
hanya boleh dipamerkan pada Mei dan pada hujung bulan itu sahaja,
senarai nama berkenaan akan disahkan sebagai pemilih berdaftar. Itupun
kalau bernasib baik jika nama tidak ada dalam proses bantahan. Dalam
erti kata lain, mereka yang baru mendaftar dalam bulan ini (Januari),
memerlukan sekurang-kurangnya lima bulan setengah, yakni pada Jun nanti
untuk disahkan sebagai pengundi.
Jadi, janganlah kata tidak ada makluman mengenai perkara ini atau
sememangnya sengaja tidak mahu cari maklumat. Kalau tiba-tiba Parlimen
dibubarkan, jangan nak membising pula.
Realitinya juga, lagi dekat 'tarikh' PRU13, akan lagi banyak proses
bantahan terhadap daftar pemilih. Meskipun tarikhnya itu masih belum
pasti, namun daftar pemilih mutakhir suku keempat 2011 dan daftar
pemilih suku pertama 2012 kini menjadi tumpuan parti-parti politik dan
orang ramai di seluruh negara.
Ingatan mengenai peri pentingnya mendaftar sebagai mengundi oleh
setiap warganegara telah diperingkatkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Tun Razak.
Kata beliau, kegagalan rakyat Malaysia mendaftar sebagai pengundi
secara langsung telah menafikan hak mereka untuk terlibat dalam proses
demokrasi negara.
Perkara itu tidak seharusnya berlaku kerana hak mengundi adalah satu
keistimewaan yang diberikan oleh Perlembagaan negara dan semua rakyat
wajar menggunakan hak tersebut dengan sebaik-baiknya. Ini penting supaya
golongan terbabit tidak ketinggalan untuk turut sama mencorak kerajaan
serta menentukan parti yang bakal memerintah pada pilihan raya umum akan
datang.
Mohd. Jurit semalam menutup SMSnya dengan kata-kata:
"Wahai ketua keluarga, ibu bapa, ketua kampung, ketua jabatan, polis dan tentera, kedai kopi, surau, masjid dan khutbah.
"Ini (mendaftar sebagai pengundi) tuntutan amanah. Janganlah
diharapkan apa-apa bayaran tetapi haraplah ganjaran pahala di atas usaha
ini. Berjihad ke jalan Allah."
/hwa: utusan.com.my | 13/2/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan