KUALA LUMPUR 22 Feb. - Naib Ketua Pemuda UMNO,
Datuk Razali Ibrahim menggesa Majlis Syura Ulama Pas menjelaskan
pendiriannya berhubung tindakan parti itu yang terus menyokong dan
memberi kerjasama kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ini kerana katanya, tindakan parti itu menyokong Anwar yang secara
terang-terangan menyokong Israel, boleh dianggap sebagai bersubahat.
"Saya menggesa Majlis Syura Ulama Pas supaya menyatakan pendirian
dalam hal ini kerana Anwar tidak melakukan dua perkara yang telah
diputuskan oleh majlis tersebut untuk membuktikan bahawa beliau tidak
menyokong Israel.
"Selain itu, saya juga mahu tahu pendirian majlis tersebut sama ada
parti itu dianggap sebagai bersubahat kerana menyokong kenyataan Anwar
seperti yang dikeluarkan dalam The Wall Street Journal (WSJ)," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan Anwar yang tidak akan menyaman WSJ berhubung
kenyataannya mengenai sokongan terhadap keselamatan Israel sebagaimana
disiarkan pada 26 Januari lalu meskipun Majlis Syura Ulama Pas sebelum
ini menggesa Ketua Pembangkang itu berbuat demikian jika kenyataannya
diputar-belitkan oleh media berkenaan.
Sambil mendakwa Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
mendengar dan memahami penjelasannya dalam pertemuan selama satu jam
semalam, Anwar berkata, WSJ tidak melakukan kesalahan kerana ia turut
menyiarkan kenyataannya mengenai syarat-syarat yang perlu dipatuhi oleh
rejim zionis dalam memenuhi aspirasi rakyat Palestin.
Majlis Syura Ulama Pas sebelum ini sebulat suara memberi kata dua
kepada Anwar supaya menarik balik kenyataan menyokong keselamatan Israel
dan menyaman WSJ bagi membuktikan bahawa beliau tidak menyokong negara
berkenaan.
Dalam pada itu, Razali turut mempertikaikan tindakan Anwar yang hanya memberi penjelasan kepada Nik Aziz sahaja.
Sedangkan, katanya, Anwar sepatutnya memberi penjelasan tersebut
kepada Majlis Syura Ulama dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang
kerana ia membabitkan kepentingan ummah.
Sementara itu, berhubung dakwaan bahawa syarikat Malaysia mempunyai
hubungan perdagangan dengan Israel, Razali menyifatkannya sebagai
strategi pembangkang untuk mengelirukan rakyat.
"Malaysia tidak ada hubungan diplomatik dan mengiktiraf negara tersebut apatah lagi mempertahankan keselamatan negara itu.
Ini merupakan perkara yang berbeza serta sengaja dibangkitkan untuk
mengalih pandangan, mengelirukan dan bertujuan mendapatkan sokongan
rakyat. Kita tidak perlu menyokong pihak yang melakukan kesalahan kerana
kita mempunyai pilihan, menolak atau bersubahat," jelasnya.
/hwa: utusan.com.my | 23/2/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan