PETALING JAYA 21 Feb. - Tan Sri Muhyiddin Yassin
hari ini mengarahkan pengurusan sekolah di seluruh negara menganjurkan
lebih banyak program bagi memupuk sikap penerimaan serta perpaduan di
kalangan pelajar pelbagai agama dan keturunan.
Timbalan Perdana Menteri berkata, pengurusan sekolah juga perlu
memastikan supaya aktiviti berkenaan turut disertai oleh ibu bapa para
pelajar di sekolah masing-masing.
Beliau memberitahu, usaha itu bagi menjamin sikap toleransi serta
penerimaan di kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini
dapat dipupuk sejak di peringkat sekolah lagi.
"Jangan kita sentuh sensitiviti di antara sesama kita walaupun kita datang daripada agama dan anutan agama berbeza.
"Kita hormati kelainan kita, kita terima kelainan sebagai satu
warisan yang kita hargai kerana mungkin tidak banyak negara seperti
Malaysia," katanya.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian semasa berucap
merasmikan Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia 2012
Peringkat Sekolah, di Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Sri Aman di sini.
Muhyiddin bagaimanapun yakin sistem persekolahan yang diamalkan
kerajaan selama ini telah berjaya memupuk semangat hormat-menghormati di
kalangan masyarakat seterusnya memastikan keamanan negara.
Dengan keamanan, katanya, kepimpinan negara dapat memberi tumpuan
kepada usaha memacu Malaysia mencapai lebih banyak kemajuan serta menuju
status sebagai negara maju dan berpendapatan tinggi kelak.
"Ada negara yang mempunyai hanya satu agama tapi terdiri daripada pelbagai puak dan bergaduh serta berperang sesama sendiri.
"Ada jua negara yang mempunyai pelbagai agama tetapi hubungan mereka
sentiasa tegang (sehingga) kadang-kadang berlaku pertempuran seterusnya
pertumpahan darah," jelasnya.
Dalam pada itu, Resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada
Oktober 2010 mengisytihar minggu pertama setiap bulan Februari sebagai
Minggu Keharmonian Antara Agama Sedunia.
/hwa: utusan.com.my | 22/2/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan