KUALA LUMPUR 21 Feb. – Seperti dijangka, Datuk Seri Anwar Ibrahim
tidak akan menyaman The Wall Street Journal (WSJ) berhubung kenyataannya
mengenai sokongan terhadap keselamatan Israel sebagaimana disiarkan
pada 26 Januari lalu meskipun Majlis Syura Ulama Pas sebelum ini
menggesa Ketua Pembangkang itu berbuat demikian jika kenyataannya
diputar-belitkan oleh media berkenaan.
Sambil mendakwa Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
mendengar dan memahami penjelasannya dalam pertemuan selama satu jam
hari ini, beliau berkata, WSJ tidak melakukan kesalahan kerana ia turut
menyiarkan kenyataannya mengenai syarat-syarat yang perlu dipatuhi oleh
rejim zionis dalam memenuhi aspirasi rakyat Palestin.
Berbanding laporan media arus perdana, beliau mendakwa kesemuanya
hanya menyentuh kenyataannya mengenai sokongan untuk melindungi
keselamatan Israel sahaja tanpa menyiarkan syarat yang perlu dipatuhi
oleh negara zionis tersebut.
‘‘Saya terangkan kepada Nik Abdul Aziz bahawa kenyataan saya dalam
WSJ turut memberi penekanan mengenai contingent yang perlu dipatuhi oleh
Israel dan bukan seperti mana yang disebut dalam akhbar arus perdana.
‘‘Saya faham pendirian Pas dalam soal Palestin-Israel ini yang mana
mereka cukup tegas dan keras. Saya juga beri penjelasan jangan ada salah
tafsiran tentang pengiktirafan Israel kerana perkara itu tidak harus
berbangkit selagi syarat-syarat tidak dipatuhi,’’ katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan
kira-kira satu jam bersama Nik Abdul Aziz serta Ketua Penerangan Pas,
Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man di sebuah hotel di sini, hari ini.
Pada pertengahan bulan ini, Nik Abdul Aziz meminta Penasihat Parti
Keadilan Rakyat (PKR) itu membuat kenyataan terbuka sama ada mahu
menarik balik sokongan terhadap Israel atau pun menyaman WSJ.
Desakan tersebut merupakan ketetapan yang dibuat selepas ahli
jawatankuasa tertinggi parti itu dan Majlis Syura Ulama Pas mengadakan
mesyuarat di sini baru-baru ini.
Nik Abdul Aziz berkata, rakyat mahu mengetahui perkara sebenar kerana
ia telah menjadi isu yang diketahui umum selepas disiarkan WSJ
baru-baru ini.
Menjawab satu soalan sama ada wujud perbezaan antara beliau dan Pas
mengenai isu Palestin, Anwar mengakui terdapat sedikit perbezaan.
“Cuma sedikit sahaja iaitu dari segi penekanan. Pas sentiasa
konsisten bahawa mereka sama sekali tidak akan mengiktiraf kewujudan
Israel sama ada dalam sudut pandangan, fikiran malah dalam bentuk
rundingan sekalipun.
‘‘Saya pula menyokong keputusan yang diambil Hamas dan Fatah untuk
bertegas terhadap syarat-syarat yang dikenakan dan seterusnya menyambung
rundingan,’’ katanya.
Berhubung contingent yang dimaksudkannya seperti mana disiarkan oleh
WSJ itu Anwar berkata, terdapat empat perkara iaitu pengunduran tentera
Israel daripada wilayah Palestin dan Arab; hentikan keganasan; hentikan
kepungan terhadap Gaza dan iktiraf Baitul Muqaddis.
Sementara itu Nik Abdul Aziz dalam status terbaru Facebooknya hari
ini menegaskan bahawa pendirian Pas dalam isu Palestin jelas iaitu parti
tersebut tidak sesekali mengiktiraf walaupun seinci hak Yahudi terhadap
bumi Palestin yang telah dirampas.
‘‘Berbeza atau tidak dengan sesiapa, Pas tetap dengan pendirian ini,’’ ujarnya.
/hwa: utusan.com.my | 22/2/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan