SHAH ALAM 31 Jan. - Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad
menganggap bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr. Hasan Ali tidak memahami
maksud parasit sebenar apabila secara terang-terangan menamakan beliau
sebagai pemimpin Pas yang dianggap 'parasit' dalam parti itu.
Timbalan Pesuruhjaya III Pas Selangor yang pernah digugurkan daripada
jawatan itu ketika Pas negeri diterajui oleh Hasan berkata, tuduhan
tersebut tidak tepat kerana beliau adalah ahli dan pemimpin Pas yang
berada dalam 'batang tubuh' parti sejak sekian lama sedangkan parasit
adalah suatu benda asing yang hidup dengan cara menumpang pihak lain.
Sebaliknya kata beliau, pihak yang berada di luar Pas dan hanya boleh
hidup dengan menumpang isu membabitkan parti itu sebenarnya adalah
parasit.
"Parasit adalah jenis yang tinggal atas induk macam pokok asing
tinggal atas pokok besar tetapi saya tidak boleh menjadi parasit kerana
saya merupakan sebahagian daripada batang tubuh parti.
"Tidak seperti orang yang hidup dengan isu Pas tetapi dia adalah
orang asing yang mana jika tidak ada isu Pas, dia tidak boleh hidup, dia
menjadi popular atas isu Pas," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Hasan yang menamakannya sebagai parasit
dalam Pas ketika berceramah dalam program Bicara Memurnikan Akidah Ummah
di Dewan Rukun Tetangga Seksyen 17 di sini malam semalam.
Hasan dipetik sebagai berkata, Ahli Parlimen Shah Alam itu sering
kali dilihat menyebarkan fahaman yang tidak menyebelahi Islam selain
merupakan individu paling lantang menentang usahanya untuk melarang
penjualan minum keras di kedai-kedai runcit di kawasan penempatan
majoriti orang Melayu.
Khalid juga didakwa adalah individu yang beria-ia mengkritik Jabatan
Agama Islam Selangor (JAIS) ketika agensi agama itu menyerbu sebuah
premis yang dikatakan sebagai Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC)
meskipun pihak berkuasa menerima maklumat mengenai penganjuran satu
majlis yang bermatlamat bagi menyelewengkan akidah umat Islam di negeri
ini.
Khalid yang sudah lebih 30 tahun berada dalam Pas berkata, Hasan
sebenarnya sudah menjadi alat UMNO apabila membuat kenyataan supaya para
pengundi di Parlimen Shah Alam agar tidak mengundinya lagi pada pilihan
raya umum akan datang.
"Kalau tidak beri undi kepada Khalid Samad, kepada siapa lagi? Sudah
tentu kepada UMNO. Ini bukti Hasan sudah menjadi budak suruhan UMNO,"
katanya.
Malah katanya, dakwaan itu jugalah yang menjadi punca mengapa Hasan
tidak dilantik menjadi Pesuruhjaya Pas negeri dan terpaksa dikeluarkan
daripada parti meskipun sebenarnya beliau tidak mempunyai harapan dalam
UMNO.
Dalam pada itu beliau menjelaskan, isu penjualan arak yang
dibangkitkan oleh Hasan sebenarnya merupakan cadangan anggota Pas Shah
Alam sendiri yang merupakan Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam (MBA).
"Ahli kita yang bawa usul supaya kedai-kedai serbaneka yang
beroperasi di kawasan majoriti orang Melayu tidak menjual arak. Kita
gunakan kaedah lembut, pujuk rayu, adakan penerangan secara 'bil hikmah'
dan bukannya buat cara samseng dengan merampas arak berkenaan.
"Bukannya buat dengan sesuka hati kerana ada peraturannya mengikut
akta dari Pusat bahawa kedai-kedai seumpama itu tidak perlu memohon
lesen khas," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 1/2/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan