KUALA LUMPUR 31 Jan. - Golongan ulama tidak lagi 
menjadi kumpulan paling berpengaruh dalam Pas sejak parti itu dikuasai 
pemimpin yang lebih mengutamakan misi menumbangkan kerajaan daripada 
agenda mempertahankan agama.
Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Muhammad Yusoff Hussein, 
keadaan itu amat mengecewakan kerana perjuangan asal Pas iaitu 
mempertahankan kesucian dan kepentingan Islam telah berubah selepas 
parti itu tidak lagi didominasi oleh ulama.
Hakikatnya, kata beliau, perjuangan Pas benar-benar telah berubah dan
 ia diburukkan lagi dengan sikap parti itu yang mengikut telunjuk DAP 
dan PKR walaupun terpaksa mengorbankan perjuangan asal parti berkenaan.
''Berdasarkan pengamatan saya, kumpulan ini yang dianggap parasit 
oleh bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali. Kumpulan ini 
berjaya menyisihkan peranan ulama sehingga suara dan pengaruh mereka di 
dalam Pas menjadi begitu kecil.
''Secara peribadi saya begitu kecewa dengan apa yang berlaku kerana 
Pas yang ditubuhkan pada awal 50-an sehingga 90-an dipimpin oleh 
golongan ulama yang ikhlas mempertahan dan memperjuangkan Islam 
antaranya Ahmad Fuad Hassan, Zulkifli Mohamad dan Datuk Fadzil Noor,'' 
katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas situasi terkini dalam Pas apabila parti itu 
dipercayai sedang berhadapan dengan konflik ekoran berlakunya 
pertembungan antara ulama dan golongan bukan ulama yang sebahagian besar
 terdiri daripada penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Antara perkembangan terbaru ialah mengenai hasrat Presiden Pas, Datuk
 Seri Abdul Hadi Awang untuk menarik diri pada Pilihan Raya Umum Ke-13 
(PRU-13).
Sebelum ini Pas turut dilanda satu kontroversi apabila Jawatankuasa 
Pusatnya tanpa mengikut prosedur telah membuat keputusan memecat 
keahlian Hasan kerana Ahli Dewan Undangan (ADUN) Gombak Setia itu 
dikatakan telah melakukan perbuatan melanggar perlembagaan parti.
Dalam perkembangan berkaitan Muhammad Yusoff berkata, hasrat Abdul 
Hadi menarik diri daripada bertanding PRU-13 boleh dikaitkan dengan 
konflik yang berlaku di dalam Pas.
''Realitinya, perjuangan Pas telah menyimpang daripada asal dan saya 
percaya ini adalah hasil gerakan kumpulan generasi muda yang begitu 
bersungguh-sungguh untuk berkuasa bersama dengan DAP dan PKR.
''Mereka tidak kira untuk bersahabat dengan sesiapa asalkan dapat 
menjadi pemerintah. Perjuangan mempertahankan Islam bukan lagi agenda 
utama Pas sebaliknya keutamaan mereka adalah untuk menumbangkan kerajaan
 sedia ada,'' katanya lagi.
Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Nakhaie Ahmad berkata, Pas berubah 
sejak sebahagian besar ulama tewas di tangan golongan liberal dalam 
pemilihan parti itu pada tahun 2011.
Beliau berkata, ekoran perubahan itu tidak hairan perjuangan Pas 
telah beralih daripada perjuangan Islam kepada perjuangan untuk menjadi 
pemerintah.
''Sebab itu kita jangan hairan jika perjuangan akidah pun mereka 
tidak mahu sambut. Pas sekarang bukannya seperti Pas dahulu. Dahulu 
mereka juga menjaga kepentingan Islam kerana pada masa itu golongan 
ulama menguasai Pas.
''Namun sekarang tidak lagi. Selepas Pas dikuasai oleh golongan yang 
lebih liberal mereka nampaknya tidak ada masalah untuk bersekongkol 
dengan DAP dan PKR. Kepentingan politik melebihi daripada 
segala-galanya,'' katanya.
/hwa: utusan.com.my | 1/2/12 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan