PULAU PINANG 31 Jan. - Orang Melayu dikesan paling ramai tidak mendaftar sebagai pengundi walaupun layak berbuat demikian.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd.
Yusof berkata, berdasarkan kajian pihaknya mendapati orang Melayu
memandang remeh perkara itu dengan memberikan pelbagai alasan.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan bilangan sebenar orang Melayu
yang terbabit daripada jumlah terkini 3.7 juta orang yang layak
mendaftar tetapi tidak berbuat demikian.
"Ada yang memberi alasan bahawa mereka terlalu sibuk dengan urusan
harian sehingga tiada masa untuk mendaftar. Malah ada yang mengatakan
tidak ada perubahan besar akan berlaku dengan hanya satu undi," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas taklimat
persediaan Pilihan Raya Umum Ke-13 kepada pegawai pengurus pilihan raya
negeri di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Jaafar.
Sehubungan itu, Abdul Aziz menasihatkan golongan itu agar segera
berbuat demikian bagi membolehkan mereka menunaikan hak dan
tanggungjawab pada pilihan raya umum nanti.
Dalam perkembangan lain beliau memberitahu, hanya 50 responden
memberikan maklum malas daripada 42,057 orang yang disenaraikan sebagai
pengundi meragukan.
"Daripada 50 orang itu, 26 masih aktif manakala 24 lagi tidak dapat dipastikan status mereka," jelasnya.
Oleh itu, katanya, seramai 42,031 nama lagi akan digugurkan daripada senarai pemilih selepas tarikh semakan berakhir hari ini.
Sementara itu Abdul Aziz menjelaskan, cadangan untuk mengadakan
proses pengundian awal bagi pengundi di luar negara tidak dapat
dilakukan dan akan kekal dengan kaedah sedia ada iaitu undi pos.
"SPR ada meminta kerjasama Wisma Putra untuk melaksanakannya, namun
mereka tidak dapat melakukannya kerana pelbagai faktor. Antaranya jumlah
pengundi yang ramai selain kedudukan mereka yang berselerak," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 1/2/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan