SHAH ALAM 31 Jan. - Buat kali pertama, bekas Pesuruhjaya Pas
Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali mendedahkan pemimpin Pas yang selama ini
dianggap ‘parasit’ dengan menamakan Timbalan Pesuruhjaya Pas III negeri,
Khalid Samad sebagai individu terbabit.
Beliau yang dilucutkan jawatan Exco Hal Ehwal Islam negeri pada 13
Januari lalu mendakwa, Ahli Parlimen Shah Alam itu sering dilihat
menyebarkan fahaman yang tidak menyebelahi Islam selain merupakan
individu paling lantang menentang usahanya untuk melarang penjualan
minuman keras di kedai-kedai runcit di kawasan penempatan majoriti orang
Melayu.
Hasan berkata, Khalid juga beria-ia mengkritik Jabatan Agama Islam
Selangor (JAIS) ketika agensi agama itu menyerbu sebuah premis yang
dikatakan sebagai Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) meskipun pihak
berkuasa menerima maklumat mengenai penganjuran satu majlis yang
bermatlamat bagi menyelewengkan akidah umat Islam di negeri ini.
“Saya tidak hairan sekiranya usaha-usaha itu ditentang oleh pemimpin
DAP mahu pun pemimpin bukan Islam dalam PKR, tetapi saya sangat hairan
apabila ia ditentang hebat oleh Khalid Samad yang bertanding atas tiket
Pas.
“Sebab itu saya hendak ingatkan pengundi di Shah Alam agar jangan
beri satu undi pun kepada dia (Khalid) pada pilihan raya umum akan
datang kerana dia adalah pengkhianat kepada akidah umat Islam,” katanya
ketika berucap pada program Bicara Memurnikan Akidah Ummah di Dewan
Rukun Tetangga Seksyen 17 di sini malam ini.
Program itu dihadiri lebih 1,000 orang termasuk bekas Ketua
Penerangan Pas Selangor, Hasan Basri Mohd. dan bekas Timbalan Dekan
Fakulti Ekonomi Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Datuk Aidit
Ghazali.
Hasan berkata, pihaknya sedang dalam perancangan untuk menubuhkan
sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bertujuan untuk
mempertahankan Islam, Melayu dan institusi diraja di negara ini.
Kata beliau, pertubuhan yang akan dikenali sebagai Jati itu akan
menggabungkan beberapa NGO lain yang turut mempunyai perjuangan sama
selain individu yang berminat untuk menyertainya.
“Pertubuhan itu dijangka dilancarkan pada 21 Februari di Pusat
Konvensyen Shah Alam (SACC) dengan sasaran penyertaan seramai 100,000
keahlian.
“Matlamat kami adalah untuk mewujudkan jaringan ketiga iaitu sebagai
pengimbang kepada parti pemerintah serta parti pembangkang dalam
mempertahankan Islam, Melayu dan Raja Melayu (IMR) di negara ini,”
jelasnya.
Dalam pada itu, Hasan Basri berkata, penyebaran fahaman ‘Anwarism’
kini semakin merbahaya kerana ia jelas bersifat sekular dan liberal yang
bercanggah dengan ajaran Islam sebenar.
“Sebagai contoh, demi untuk kuasa dan mendapat sokongan negara Barat,
Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sanggup mengiktiraf sebuah negara
haram Israel yang sejak sekian lama melakukan kekejaman terhadap umat
Islam di Palestin.
“Selain itu, atas nama hak asasi manusia, Anwar juga
bersungguh-sungguh menganggap Seksyen 377B (Kanun Keseksaan) yang
melarang seks gay dan lesbian sebagai lapuk serta tidak lagi relevan dan
sebab itulah saya kata fahaman ‘Anwarisme’ ini merbahaya kepada umat
Islam di negara ini,” tegasnya.
Aidit pula mengingatkan umat Islam di negara ini supaya taksub hanya
kepada Allah dan bukannya kepada seseorang pemimpin mahu pun organisasi
kerana ia adalah tuntutan Islam.
/hwa: utusan.com.my | 1/2/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan