KUALA LUMPUR 6 Feb. - Tindakan Datuk Seri Anwar
Ibrahim yang memberi sokongan kepada sebarang usaha bagi melindungi
keselamatan Israel disifatkan menyakiti dan mengabaikan aspirasi umat
Islam seluruh dunia.
Sehubungan itu, Pengarah Pusat Kajian Timur Tengah dan Dunia Islam
Universiti Muhammadiah, Jakarta, Hery Sucipto menganggap Penasihat Parti
Keadilan Rakyat (PKR) itu membuat kenyataan yang sangat melulu dan
melampau berhubung perkara berkenaan.
''Sokongan Anwar ini boleh menyakiti dan mengabaikan aspirasi umat
Islam di seluruh dunia ketika dunia antarabangsa menyeru serta mendukung
perjuangan rakyat Palestin melepaskan diri daripada penjajahan
Israel,'' katanya.
Beliau dipetik berkata demikian dalam akhbar Rakyat Merdeka, Indonesia yang disiarkan hari ini.
Anwar mencetuskan kontroversi apabila dalam wawancara dengan The Wall Street Journal pada akhir bulan lalu menyatakan sokongan terhadap sebarang usaha melindungi keselamatan negara Israel.
Kenyataan ketua pembangkang itu mendapat kecaman pelbagai pihak
termasuk tokoh-tokoh antarabangsa yang memperjuangkan kemerdekaan
Palestin.
Hery seterusnya secara terbuka menyifatkan tindakan Anwar itu
bermotifkan politik bagi meraih simpati dan sokongan Amerika Syarikat
(AS) serta negara-negara Barat.
Namun tegas beliau, langkah Anwar tersebut terlalu berisiko, khususnya bagi umat Islam di Malaysia mahupun antarabangsa.
''Rakyat boleh sahaja menilai Anwar mencari simpati untuk kepentingan
politik jangka pendek, iaitu bagi meraih kejayaan dalam pilihan raya
umum Malaysia tidak lama lagi,'' katanya.
Kata Hery, tindakan Anwar membuat kenyataan sedemikian dalam isu
melibatkan Palestin dan Israel hanya akan menguntungkan kerajaan Zionis
tersebut.
''Saya berharap Anwar akan lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan
kepada media kerana tindakan boleh menyebabkan simpati rakyat kepada
beliau boleh berubah sebaliknya,'' katanya.
/hwa: utusan.com.my | 7/2/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan