KLANG 6 Feb. - Datuk Seri Najib Tun Razak
berkata, Malaysia melaksanakan dasar jaringan keselamatan sosial bagi
membela masyarakat kurang berkemampuan dan orang kurang upaya (OKU)
menerusi pelaksanaan bantuan serta kemudahan yang disediakan kepada
golongan itu.
Sehubungan itu Perdana Menteri menegaskan, kerajaan tidak mengamalkan dasar negara kebajikan atau welfare state memandangkan banyak negara yang melaksanakan dasar sedemikian kini terpaksa berhadapan dengan masalah ekonomi yang serius.
''Dasar jaringan keselamatan sosial dijalankan menerusi kerjasama
pihak swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta orang perseorangan
itu adalah bagi memastikan golongan berkenaan tidak terpinggir daripada
menikmati hasil kekayaan negara,'' katanya.
Beliau demikian demikian ketika berucap pada majlis sambutan Chap Goh
Meh bersama kira-kira 1,500 masyarakat pelbagai kaum terdiri daripada
OKU, anak-anak yatim dan warga emas di Dewan Hokkien Klang, di sini hari
ini.
Pada majlis tersebut, Najib yang dikenali di kalangan masyarakat Cina
sebagai 'Ah Jib Gor' turut menyampaikan sumbangan angpau sebanyak RM100
kepada setiap golongan yang kurang berkemampuan.
Hadir sama Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk
Seri Noh Omar dan Pengerusi MCA Selangor, Datuk Donald Lim Siang Chai.
Najib berkata, melalui dasar jaringan keselamatan sosial, kerajaan
dapat mewujudkan sebuah masyarakat yang lebih adil, saksama dan seimbang
dari segi berkongsi kekayaan negara.
Perdana Menteri berkata, dasar kerajaan yang menekankan kebajikan
OKU, ibu tunggal, anak-anak yatim dan golongan tidak berkemampuan jelas
dilihat melalui Program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (KAR1SMA) di bawah
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Beliau berkata, menerusi Karisma, kerajaan memperuntukan RM1.4 bilion
untuk membela kebajikan golongan berkenaan selain peruntukan RM2.6
bilion bagi program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi seluruh rakyat
tidak mengira kaum yang mempunyai pendapatan isi rumah kasar kurang
daripada RM3,000 sebulan.
''Kerajaan turut menyalurkan bantuan persekolahan sebanyak RM100
kepada setiap murid sekolah rendah dan menengah. Sekarang kerajaan
sedang menjalankan pemberian bantuan BR1M," kata beliau.
Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor berkata,
kerajaan juga mengalakkan syarikat-syarikat korporat dan GLC
melaksanakan dasar jaringan keselamatan sosial melalui program
tanggungjawab sosial (CSR) masing-masing.
Beliau berkata, usaha membela kebajikan golongan tidak berkemampuan
juga dilaksanakan menerusi program-program melibatkan kerjasama sektor
kerajaan dan swasta sebagaimana di Selangor, sebanyak 50 badan kebajikan
dan amal menerima bantuan masing-masing sebanyak RM10,000 untuk tujuan
itu.
Bagi memantapkan taraf OKU di negara ini, Perdana Menteri turut
menyeru syarikat-syarikat swasta dan orang perseorangan agar menyediakan
lebih banyak peluang kepada golongan itu termasuk pekerjaan dan
sebagainya.
Beliau memberikan contoh bagaimana kerajaan memberikan penghargaan
kepada seorang pelajar OKU melalui Anugerah Perdana Sambutan Maulidur
Rasul semalam kerana kejayaannya memperoleh keputusan cemerlang 9A dalam
peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun lalu.
"Ini adalah contoh yang boleh dibanggakan apabila golongan OKU diberikan peluang yang sewajarnya," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 7/2/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan