KETIKA melepak menghirup nescafe tarik di
restoran yang antara menunya sate kajang di Selayang, Ahad malam
kelmarin, penulis diajukan pertanyaan yang barangkali sepatutnya
dilayangkan sejak dahulu lagi.
Lebih-lebih lagi daripada seorang pengikut sebuah parti yang tegar
dan taksub akan aliran kepemimpinannya yang diuar-uarkan pemimpin mereka
sahaja yang mempraktikkan hidup sederhana, warak perilakunya dan paling
dekat dengan rakyat.
Kalau nampak sahaja wakil rakyat kerajaan berkereta mewah, terus
ditudingnya sebagai 'itulah parti yang disertainya banyak wang dan boleh
kaya segera'.
Cuma pertanyaan tadi yang datangnya daripada seorang rakan penulis
yang dikira agak tegar juga sokongannya kepada parti terbabit di
restoran sate itu, sedikit sebanyak mencuit sanubari penulis.
"Ishhh, pemimpin itu baru berjawatan...di kawasan itu tapi yang
terbakar tu tengok keretanya...," katanya sambil menyebut beberapa jenis
kereta mewah milik ahli politik berkenaan yang ditimpa musibah
baru-baru ini.
Pertanyaan sinikal itu dijawab penulis selamba. Apa salahnya pemimpin
parti terbabit. Kalau dia seorang ahli perniagaan berjaya, ditambah
lagi dengan kecenderungannya aktif berpolitik, maka tidak ada salahnya
dia hendak menikmati keselesaan berkereta yang ada jenama.
Tetapi, jawapan penulis tadi meskipun sedikit sebanyak 'melegakan'
rakan tadi namun akhirnya dia akur bahawa selama ini dia terlalu banyak
prasangka terhadap ahli-ahli politik. Yang peliknya, semuanya daripada
wakil-wakil rakyat kerajaan. Padahal kalau nak dikirakan kebanyakan
pemimpin Pas pun berkereta Mercedes Benz, BMW dan Alphard. Cuma, jika
Ferrari atau Maserati, itu sudah melampaulah.
Penulis masih teringat tentang kenyataan sinis yang keluar daripada
mulut pengikut pembangkang apabila tingkat atas rumah empat tingkat
milik Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di
Jalan Duta 5, Taman Duta di sini musnah dalam satu kebakaran yang
berlaku awal pagi 8 Mei tahun lalu.
Banyak ungkapan yang tidak molek ditimbulkan oleh mereka dari
kalangan pakatan pembangkang. Lebih-lebih lagi dalam facebook dan
twitter. Tidak ada rasa belah kasihan langsung. Inilah antara tindak
tanduk anasir yang sanggup memfitnah dan mengeluarkan kata-kata
mengaibkan dengan mengaitkan setiap musibah sebagai satu pembalasan.
"Separuh daripada keimanan adalah kebersihan hati selain kebersihan
rumah dan sekitar tetapi saya sedih apabila mendapat cubaan dari Allah
SWT, ada pihak mengaitkan ia sebagai hukuman kerana melakukan rasuah.
Astagfirullah, sedangkan rumah itu saya diami lebih dari 20 tahun yang
mana sebelum terlibat dalam politik lagi. Malangnya, apabila saya
ditimpa musibah mereka melemparkan fitnah," kata Tengku Adnan ketika
ditemui penulis selepas kebakaran itu.
Tengku Adnan merupakan seorang ahli perniagaan yang berjaya sebelum menceburi bidang politik dan ketika ini.
Realitinya, tidak mudah untuk membuang prasangka jika ia sudah
berakar umbi dan sebati dalam tubuh seseorang. Apa lagi jika wujud
dendam kesumat.
Semasa seorang pemimpin wanita popular Pas meninggal dunia tahun
lepas, ucapan takziah turut dimuatkan dalam umno-online. Tetapi nada
sebaliknya di sebelah sana. Saban hari kerja Harakah, Rocket dan Suara
Keadilan disertai portal-portal pro pembangkangnya 'membelasah' dan
'membantai' kerajaan. Tidak ada satu pun yang elok dan 'kena' pada mata
mereka. Gejala itu berleluasa di kala ada antaranya tidak berlesen pun
untuk menjual akhbar-akhbar terbitan mereka. Bayangkan kalau sudah ada
permit, lagilah 'mengamuk sakan' mereka.
Sentimen terhadap negatifnya parti-parti pembangkang ke atas apa
sahaja dilakukan kerajaan untuk kebaikan rakyat memang cukup
menyedihkan. Barangkali kerana kerajaan bersikap 'gentleman' dan tidak
ambil pusing terhadap mereka.
Namun, nampaknya mereka kian naik tocang pula ibarat 'ayam jantan
tetapi ekor penuh bergelumang tahi'. Psywar (perang saraf) terutama
daripada DAP, PKR dan apalagi daripada Pas terhadap apa sahaja program
bermanfaatkan rakyat daripada BN jelas amat cukup menjengkelkan.
Yang ketara, pembangkang semakin menunjukkan rasa takut dan gentar
mereka terhadap BN yang ditunjangi UMNO. Kini mereka melancarkan satu
kempen yang disebut A.B.U. bagi singkatan kepada Asal Bukan UMNO atau
Anything But UMNO. Betapa takutnya mereka terhadap UMNO atas soal
berteraskan dendam mereka terhadap UMNO semata-mata dan bukanlah
perjuangan demi rakyat.
Di bibir mereka, hanyalah untuk merampas Putrajaya, rampas dan rampas
di kala BN sedang mengusahakan program-program berlabelkan 1Malaysia.
Sebutlah apa sahaja, Menu, Kedai, Bantuan dan beberapa lagi yang di
hujungnya 1Malaysia. Jika dahulu pandangan sinikal dari keluarga
segelintir penyokong Pas, PKR dan DAP, kini ia disambut dengan raut
wajah sedikit ceria.
Yang pasti, Pas yang ditubuhkan pada 1951 jika sekadar bertanding 60
hingga 70 kerusi daripada keseluruhan 222 kerusi Parlimen pada PRU13
nanti, usahlah bermimpi untuk mengetuai pakatan pembangkang mereka.
Dengan apa yang Pas lakukan di Selangor, Perak, Kedah dan apa lagi
Kelantan yang sudah 20 tahun, tidak ternampakpun pembangunan untuk
ummah, apa lagi Universiti Malaysia Kelantan (UKM) pun diusahakan oleh
orang UMNO dari Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed, maka tentunya orang
Melayu sudah ternampak luas tembelang Pas.
Yang pasti juga, ketika penulis meninggalkan rakan tadi di restoran
sate Selayang itu, sedikit perubahan ternampak di raut wajahnya. Penulis
tidaklah berharap sangat.
Namun hakikatnya PRU13 adalah ujian sebenar kepada kredibiliti Barisan Nasional (BN) walaupun terdapat
tanda-tanda awal bahawa rakyat semakin yakin dengan parti itu selepas
kerajaan dilihat komited menunaikan janji-janjinya dalam pilihan raya
lalu.
Ketika pilihan raya itu nanti rakyat akan membuat penentuan akhir
sama ada BN telah berjaya memenuhi harapan dan kehendak mereka atau
sebaliknya.
/hwa: utusan.com.my | 7/2/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan