JAKARTA 8 Feb. - Tindakan Ketua Pembangkang,
Datuk Seri Anwar Ibrahim mengeluarkan kenyataan menyokong segala usaha
melindungi Israel merupakan sikap politik yang tidak bijaksana.
Pandangan ini disuarakan Setiausaha Pertubuhan Muhammadiyah, Dr.
Abdul Mu'ti yang berpendapat, tindakan Anwar itu saling tidak ubah
seperti senjata makan tuan.
Menurut Abdul Mu'ti, seandainya Anwar berpendapat, kenyataan yang
dikeluarkan beliau itu semata-mata untuk mendapat sokongan politik
daripada Amerika Syarikat, ia merupakan kesilapan politik yang sangat
serius.
"Kalau pernyataan itu dimaksudkan untuk mendapatkan dukungan politik
daripada Amerika Syarikat, ia merupakan sikap politik yang tidak
bijaksana.
"Setiap tokoh politik Islam yang berjuang untuk mendapatkan amanah
daripada rakyat harus sentiasa berdasarkan pada prinsip-prinsip dasar
ajaran agama Islam," kata Abdul Mu'ti dalam satu temu bual dengan beliau
hari ini.
Muhammadiyah merupakan sebuah organisasi Islam yang besar di Indonesia yang mula diasaskan di negara itu pada tahun 1912.
Menurut Abdul Mu'ti, majoriti cendekiawan muslim di Indonesia tidak
bersetuju dengan kenyataan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu seperti yang
disiarkan dalam akhbar The Wall Street Journal pada hujung bulan lalu.
Abdul Mu'ti menjelaskan, kenyataan Anwar itu juga bukan hanya
menyakiti umat Islam bahkan tidak sesuai dengan sikap dan pandangan
masyarakat Muslim di seluruh dunia.
Beliau yang juga pensyarah di Institut Agama Islam Walisongo Semarang
berkata, pertubuhan Muhammadiyah begitu konsisten membantah apa sahaja
usaha untuk membina hubungan atau menyokong keselamatan negara Israel.
"Muhammadiyah pada masa ini bersetuju dengan pemerintah Indonesia
yang tidak mahu membangun hubungan diplomatik secara langsung dengan
Israel.
"Justeru, kenyataan Anwar Ibrahim kepada kami merupakan kenyataan
peribadi yang saya yakin tidak mewakili aspirasi sebahagian besar
daripada masyarakat di Malaysia dan juga tidak mencerminkan aspirasi
sebahagian besar daripada masyarakat Muslim di pelbagai belahan dunia,"
tegas Abdul Mu'ti lagi.
Pada masa sama, Abdul Mu'ti juga berpendapat, beliau tidak melihat
apa manfaat yang akan diperoleh oleh Anwar dalam kempen pilihan rayanya
melalui kenyataan sensitif yang dikeluarkannya itu.
Sebaliknya, tindakan tidak bertanggungjawab itu, tegas Abdul Mu'ti
hanya akan membuatkan beliau kehilangan sokongan politik daripada umat
Islam di Malaysia dan Indonesia.
Menurut beliau juga, kenyataan mendokong kedaulatan negara Israel
seperti yang diketahui umum dipandang tidak selari dengan ajaran Islam.
"Sebagai seorang pemimpin dan sebagai seorang intelektual Muslim,
Anwar memang memiliki hubungan personal dengan para intelektual dan
tokoh-tokoh penting di Indonesia.
"Tetapi menurut saya hubungan personal yang dimiliki beliau dan
pemimpin di Indonesia ini tidak kemudian secara automatik menunjukkan
bahawa sikap dan pandangan Anwar akan selalu sama dan seiring dengan
pemikiran beliau,
"Secara peribadi mereka mungkin memiliki hubungan yang sangat baik,
tetapi secara pemikiran dan strategi perjuangan saya fikir mereka
mempunyai perbezaan-perbezaan yang berbeza dan sangat prinsip," sambung
beliau lagi. - UTUSAN
/hwa: utusan.com.my | 9/2/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan