KUALA LUMPUR 8 Feb. – Wakil perikatan pimpinan Ikhwan Muslimin yang
berpangkalan di London, Dr. Azzam Tamimi menyifatkan Datuk Seri Anwar
Ibrahim sebagai seorang yang tidak layak menjadi pemimpin Islam kerana
menyokong sebarang usaha melindungi keselamatan negara Israel.
Pengarah Institut Pemikiran Politik Islam (IIPT) itu berkata,
seorang pemimpin Islam tidak seharusnya menyatakan pendirian yang
bertentangan dalam kepercayaan umat Islam berhubung isu Palestin.
“Anwar Ibrahim sebagai pendukung perjuangan Islam di Malaysia
baru-baru ini dipetik melalui The Wall Street Journal telah memberi
sokongan kepada usaha menjaga keselamatan negara Israel.
“Ini adalah tindakan seorang pemimpin Islam yang benar-benar tidak
layak memimpin,” katanya melalui entri blognya
www.azzamtamimi.blogspot.com.
Anwar baru-baru ini mencetuskan kontroversi berhubung kenyataannya
melalui The Wall Street Journal yang dipetik sebagai berkata: “Saya
menyokong segala usaha untuk melindungi keselamatan negara Israel.”
Bagaimanapun, selepas dikecam pelbagai pihak, Anwar menuduh
kenyataannya berhubung isu Israel dan Palestin sengaja diputar-belit
oleh media tempatan bagi menggambarkan beliau mengkhianati aspirasi
rakyat Palestin.
Azzam yang merupakan penganalisis isu Palestin dan Timur Tengah
turut mengemukakan perkara asas yang perlu difahami berhubung isu
Palestin-Israel iaitu.
* Palestin merupakan kawasan Arab Islam yang diserang kuasa Barat
yang menubuhkan negara Zionis bagi menyelesaikan masalah Yahudi yang
teruk di Eropah.
* Masalah di Palestin tidak berpunca daripada persengketaan antara
penganut Islam dan Yahudi kerana kedua-dua komuniti hidup aman sejak
berabad lamanya, sebaliknya masalah timbul apabila Zionis menghalau
penduduk Palestin dan menubuhkan sebuah negara yang bermusuhan dengan
rakyat Palestin.
* Zionis merupakan sebuah entiti rejim yang perkauman (apartheid) yang jelas memberi ancaman kepada manusia sejagat.
* Masyarakat Islam sedia bekerjasama dengan semua bangsa termasuk
Amerika Syarikat dan Eropah, namun Islam tidak akan bertoleransi atau
memberi pengiktirafan kepada apa yang tidak sah dalam usaha toleransi
untuk keamanan.
* Perjanjian damai yang dipersetujui oleh beberapa negara Arab
seperti Mesir dan Jordan dengan Zionis di Palestin tidak adil dan tidak
sah kerana dilakukan secara tidak demokrasi tanpa mengikut kehendak
rakyat. Rakyat negara terbabit seharusnya diberi hak menyatakan
pendirian mengenai perjanjian tersebut.
* Masyarakat Islam tidak menerima pengepungan haram yang dikenakan ke
atas penduduk Palestin di Tebing Barat dan Gaza. Kami tidak mensesiakan
sebarang usaha yang boleh mengakhiri pengepungan itu.
/hwa: utusan.com.my | 9/2/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan