KUALA LUMPUR 12 Feb. – Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nik
Abduh Nik Aziz hari ini menyelar tindakan Pengerusi DAP, Karpal Singh
yang tidak bersetuju dengan pendirian Pas menentang sambutan Hari
Kekasih.
Sambil meminta Karpal belajar menghormati agama lain, Nik Abduh turut
menegaskan peguam itu sepatutnya tidak memaksa pandangannya diterima
oleh orang lain.
“Ia bukan hanya pendirian Pas, ia pendirian semua umat Islam. Semua
pihak mesti terlibat mendidik dan menyeru umat Islam kepada kebaikan
beragama.
“Mencegah kemungkaran adalah kebaikan yang dipromosi agama secara
unggul. Dalam diri umat Islam ada agama. Ia hak tertinggi. Justeru,
mendidik umat agar menghormati ajaran agama adalah hak asasi umat Islam.
“Karpal kena belajar walau sudah tua untuk menghormati agama lain,
bukan memaksa pandangan sendiri ke atas orang lain. Politik bukan
mahkamah,” katanya menerusi status terkini di laman sosial Facebooknya
hari ini.
Kenyataan Nik Abduh itu dipercayai berkait dengan tindakan Karpal
yang menggesa Pas menarik balik pendirian membantah sambutan Hari
Kekasih pada 14 Februari ini kerana ia mempromosikan aktiviti tidak
bermoral.
Karpal seperti yang dilaporkan oleh sebuah akhbar hari ini dipetik
berkata, pendirian Pas itu tidak boleh dipertahankan kerana sambutan
Hari Kekasih diterima umum dan disambut hampir di semua negara.
Menurut Karpal, DAP berpendapat pendirian Pas menentang sambutan Hari
Kekasih bukan satu langkah yang baik dan tindakan Pas juga bertentangan
dengan hak asasi manusia dan prinsip kebebasan.
Dewan Pemuda Pas pada 7 Februari lalu, menggesa kerajaan melancarkan
kempen menentang sambutan Hari Kekasih termasuk dengan menyiarkan iklan
anti sambutan hari tersebut bagi mencegah umat Islam menyambutnya.
/hwa: utusan.com.my | 13/2/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan