HULU TERENGGANU 12 Feb. – Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said enggan
tunduk kepada desakan Pas yang memberi tempoh tiga hari agar beliau
menarik balik kenyataannya mendakwa parti itu sebagai ‘parti ajaran
sesat’.
Malah, Ahmad bersedia disaman oleh Pas berhubung dakwaan itu sambil
menyerahkan kepada parti berkenaan untuk memilih sama ada kes itu dibawa
ke mahkamah sivil atau mahkamah syariah.
Beliau tidak sesekali gentar dengan desakan parti tersebut kerana
yakin dakwaan terhadap Pas itu mempunyai kebenaran berdasarkan banyak
bukti kukuh.
“Ikut pandai dia lah (terserah pada Pas), saya tunggu (bila Pas akan saman). Saya tak akan tarik balik.
“Terserah pada dia sama ada nak bawa kes ini ke mahkamah sivil atau
mahkamah syariah. Nak saman, saman lah. Tapi dia kata kita (BN dan UMNO)
macam-macam tak apa. Dia kata kita kafir tak apa,” katanya kepada
pemberita selepas mengadakan lawatan di daerah ini hari ini.
Ahmad diminta mengulas mengenai pendiriannya berhubung desakan Pas
agar beliau menarik balik kenyataannya selepas melabelkan Pas ‘parti
ajaran sesat’.
Minggu lalu, Pas memberi tempoh tiga hari kepada Ahmad agar menarik
balik kenyataannya bahawa parti itu merupakan ‘parti ajaran sesat’.
Amaran itu dinyatakan Anggota Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Abu Bakar
Chik bahawa sekiranya dalam tempoh berkenaan Ahmad tidak menarik balik
kenyataannya, parti itu akan mengambil tindakan terhadapnya.
Ahmad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata,
penyelewengan dan kesesatan yang dibawa Pas terhadap umat Islam bukanlah
perkara baru, malah sudah lama diketahui rakyat.
Bukti jelas dan nyata, kata beliau, adalah ‘Amanat Haji Hadi’ dan
Peristiwa Memali yang mencabar keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan dan
Majlis Fatwa Negeri Kedah.
“Selagi Tok Guru mereka (Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang)
tidak menarik balik amanat itu, selagi itulah Pas berada dalam kesesatan
bersama sebahagian pengikutnya yang begitu taksub,” tegasnya.
/hwa: utusan.com.my | 13/2/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan