DALAM keghairahan mahasiswa menuntut kebebasan berpolitik dan
menyertai parti politik, saya amat berharap golongan mahasiswa yang
masih muda dan masih jernih pemikirannya dapat mencetuskan satu
perubahan dalam budaya berpolitik.
Saya amat bimbang sekiranya dalam keterbukaan berpolitik, mahasiswa
terlalu terikut-ikut akan budaya semasa sehingga mewarisi
perkara-perkara negatif yang banyak mencemari senario politik tempatan.
Namun, dengan anjakan paradigma dan persiapan minda yang baik, saya
yakin mahasiswa mampu memulakan satu model baru dalam budaya politik
tempatan, bermula di kampus.
Antara perkara yang perlu ditekankan penguasaan hujah dan ilmiah,
responsif dan boleh dimuhasabah, tidak terlalu taksub dengan parti, dan
berakhlak mulia.
Perkara yang perlu diutamakan dalam berpolitik adalah matlamat
perjuangan mesti jelas dan konsisten, didokong oleh hujah-hujah yang
konkrit.
Mahasiswa perlu terapkan dalam minda bahawa mereka berpolitik bukan
semata-mata untuk meraih undi atau kuasa, tapi yang lebih penting adalah
berpolitik untuk membangunkan dan mengangkat martabat pemikiran dan
budaya dalam masyarakat.
Sebagai siswa dan golongan intelek, hujah, fakta, teori dan hukum
sepatutnya menjadi teras utama dalam mengemukakan propaganda politik,
bukan dengan semata-mata bermain emosi dan sentimen.
Mahasiswa perlu menyandarkan pandangan dan argumen kepada hujah-hujah
terbukti, bukan dengan tanggapan-tanggapan atau persamaan-persamaan
mudah, yang kebelakangan ini banyak dilontarkan ahli-ahli politik.
Walaupun mungkin kita dapat menarik sokongan masyarakat dengan
menyentuh emosi dan bermain sentimen, tapi yang lebih patut diutamakan
adalah menaikkan tahap pemikiran analitikal dan kritis dalam masyarakat.
Maka ia bermula dengan objektif yang jelas dan murni serta persiapan
dan kajian yang mendalam dalam menentukan dan memandu agenda perjuangan.
Selain itu, sebagai pemimpin, mahasiswa perlu bersedia mendengar dan
menerima maklum balas dari ahli-ahli, rakan-rakan mahupun orang luar.
Tidak dinafikan, dalam umur muda, sudah pasti semangat pemuda akan banyak mendorong mahasiswa untuk menjayakan agenda mereka.
Namun, dalam semangat berkobar tersebut, mahasiswa mesti bersedia dan terbuka untuk menerima sebarang teguran dan kritikan.
Mahasiswa tidak boleh mudah terikut emosi sehingga mudah melenting
dan pantas mencantas sebarang cadangan dan teguran. Jangan pula terlalu
taksub dan jumud sehingga menyekat apa-apa maklumat yang tidak seiring
dengan pendapatnya daripada tersebar dalam organisasi, institusi atau
kepada umum.
Percambahan idea akan lebih baik dengan perbincangan yang lebih lumat dengan mengambil kira pelbagai aspek dan perspektif.
Usahlah menjadi seperti pihak yang tidak boleh ditegur, sehingga
mudah sahaja mengaitkan si penegur sebagai sekongkol pihak lawan.
Mahasiswa harus rasional dan bersikap terbuka dan matang serta
menunjukkan ciri-ciri kepimpinan baik dengan membidas hujah, ataupun
memperbaiki kesalahan.
Di samping itu, adalah menjadi harapan besar agar mahasiswa dapat
meruntuhkan tembok taksub kepartian yang telah banyak memecah-belahkan
masyarakat dari sudut kesatuan dan ukhuwah.
Tiada masalah mempunyai idea berbeza. Namun dengan budaya politik
semasa, persaingan itu bahkan terbawa-bawa ke dalam kehidupan peribadi
sehingga berlaku peristiwa-peristiwa yang terlalu menggambarkan
perpecahan.
Saya akui bahawa dengan pendedahan-pendedahan politik tempatan
semasa, mungkin agak sukar bagi mahasiswa membayangkan berpolitik di
luar kotak hitam dan putih, kiri dan kanan.
Namun, inilah cabaran buat mahasiswa untuk memulakan budaya baru
dengan fokus kepada membimbing dan membangunkan masyarakat, bukan
berstrategi untuk menumbangkan lawan.
Politik sebenarnya lebih luas dari blok kepartian di mana objektif
asalnya adalah peningkatan ketamadunan dalam masyarakat. Perkara ini
harus difahami dan diinsafi oleh mahasiswa yang ingin berpolitik.
Dalam berpolitik juga, akhlak merupakan kunci yang suci bagi meraih
kepercayaan masyarakat terhadap kemampuan mahasiswa sebagai pemimpin.
Oleh itu, mahasiswa amat dituntut menjaga dan mengutamakan akhlak dan
perilaku mulia terutama di tempat-tempat awam baik di luar mahupun di
media sosial.
Penekanan yang tinggi harus diberikan agar mahasiswa menjauhi
tindakan-tindakan negatif dan tidak matang dalam gerak kerja dan
propaganda yang boleh menghilangkan keyakinan masyarakat terhadap
potensi mereka. Mahasiswa harus menjauhi budaya menjatuhkan peribadi,
mencari kesalahan peribadi lawan, dan melontar tohmahan-tohmahan kasar.
Jalan itu terlalu kotor dan barangkali menjatuhkan kita dalam fitnah
tuduh-menuduh. Mahasiswa juga mesti mengelakkan diri daripada terlibat
dalam aksi-aksi provokatif dan ganas yang sekadar menimbulkan
kontroversi daripada menyelesaikan masalah.
Usahlah kita berbicara tentang bergerak ke depan dalam pembangunan
sekiranya kita mundur ke belakang dari aspek akhlak, perwatakan dan
penampilan dalam perjuangan.
Akhir sekali, pada pengamatan saya, mahasiswa dan politik kampus
merupakan lapangan terbaik untuk mencetuskan budaya baru dalam lanskap
politik tempatan kerana jiwa belia masih terbuka dan punya idealisme
tersendiri yang mampu dicorakkan. Mahasiswa harus mewarnai politik
kampus dengan persaingan yang sihat dan membina.
Ambillah perkara-perkara yang baik dari perkembangan politik semasa,
tetapi bertekadlah untuk mengubah yang mana jelas keburukannya.
Gerakkanlah satu perubahan budaya politik yang baru, dengan itu harapnya
akan menarik lebih ramai lagi golongan siswa dan belia untuk lebih
celik dan berminat terhadap politik.
/hwa: utusan.com.my | 9/2/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan