BARU-baru ini, Presiden Pas, Datuk Seri
Abdul Hadi Awang pernah menyatakan dalam satu perhimpunan di Shah Alam
bahawa tidak kisah Pas diperkudakan oleh DAP dan DAP yang diperkudakan
oleh Pas asalkan jangan 'diperlembukan' oleh UMNO.
Kenyataan itu mengesahkan Pas tidak kisah apa pun yang diminta oleh
DAP asalkan cita-cita Pas untuk bersama-sama parti berkenaan dan Parti
Keadilan Rakyat (PKR) menawan Putrajaya menjadi realiti.
Sebab itulah Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham menyatakan Pas
dan PKR akan membantu DAP meyakinkan orang Melayu di Perak bahawa parti
itu tidak bersifat cauvinis Cina dalam usaha memenangi Pilihan Raya Umum
Ke-13.
Kita tidak boleh menyalahkan Koo Ham kerana berterus terang, sebaliknya perlu berterima kasih kepada beliau.
Ia memandangkan selama ini ramai tertanya-tanya kenapakah Pas begitu
bersedia bergabung dalam pakatan pembangkang biar pun berbeza ideologi
dan arah perjuangan.
Malahan ramai juga bertanya bolehkah Pas bekerjasama dengan DAP yang
secara terang-terang menentang penubuhan negara Islam sehingga Pas
terpaksa menggugurkan perjuangan berkenaan.
Tetapi rupanya, DAP dan PKR menerima Pas disebabkan mereka amat
memahami kekuatan yang ada pada parti tersebut iaitu menarik sokongan
orang Melayu menyokong pembangkang termasuk DAP.
DAP mengetahui mereka tidak boleh bersendirian melakukan usaha meraih
sokongan orang Melayu, biar pun sudah memulakan langkah dengan menarik
beberapa orang Melayu menyertai parti itu.
Bagi DAP, hanya Pas sahaja yang mampu menandingi keupayaan untuk
memecah sokongan orang Melayu kepada Barisan Nasional (BN) melalui UMNO.
Oleh itu, Pas diterima masuk dalam pakatan pembangkang dengan jaminan
DAP pula akan cuba 'mencuci' imej Pas yang dikatakan dilihat ekstrem.
Bagaimanapun, kita tidak pasti sejauh manakah DAP benar-benar jujur
untuk membantu Pas kerana hakikatnya yang lebih memerlukan Pas ialah
DAP, bukannya Pas.
Jika DAP mahu membantu mengikis imej yang dikatakan ekstrem itu,
parti tersebut perlu membenarkan Pas bertanding di kawasan majoriti
pengundi Cina yang menjadi kubu kuat mereka terutamanya di Perak,
Selangor dan Pulau Pinang.
Tetapi kita pasti DAP jauh lebih bijak berpolitik berbanding Pas, ia
memandangkan DAP tidak akan mengorbankan kekuatannya semata-mata atas
dasar membantu Pas.
Namun Pas akan bersedia berbuat demikian kerana parti itu sudah kemaruk hendak berebut kuasa bersama-sama DAP dan PKR.
Sebab itulah, selama ini kita lihat melalui kerjasama dalam pakatan
pembangkang Pas lebih banyak menjadi 'pak turut' dan diperalatkan. Pas
seolah-olah cuba menafikan hakikat ini, sebaliknya gembira apabila ada
penyokong DAP yang mengibarkan bendera Pas.
Pas menganggap itu petanda baik kerana menunjukkan kononnya masyarakat bukan Melayu menyokong parti itu.
Parti tersebut sebenarnya tidak sedar bahawa DAP mahu memperalatkan
Pas untuk meraih sokongan orang Melayu kerana mereka tidak boleh
bergantung kepada PKR.
PKR ibarat parti yang semakin rosak dan penuh kekalutan akibat gelagat pemimpin-pemimpin kanannya.
Ia berbeza dengan Pas yang mempunyai ramai ulama, kehadiran golongan ini akan memudahkan misi menarik sokongan orang Melayu.
Tambahan pula DAP amat memahami ketaksuban Pas untuk terus berada
dalam pakatan pembangkang dan keghairahan Pas untuk menggantikan UMNO
sebagai parti tunggal orang Melayu. Justeru keterujaan inilah yang akan
menjadi senjata kepada DAP dan PKR untuk memperalatkan Pas.
Dan satu fakta lagi kita harus mengakui bahawa dari segi organisasi
terutamanya pergerakan jentera pilihan raya, Pas jauh lebih tersusun
berbanding kedua-dua parti berkenaan.
Ahli-ahli Pas sentiasa taat kepada arahan kepimpinan apabila diminta
berkorban dan berjuang untuk parti. Mereka diserapkan dengan fahaman
bahawa pakatan pembangkang perlu menumbangkan BN kononnya bagi
memberikan harapan baru kepada rakyat dan 'Bersihkan Malaysia'.
Ahli-ahli Pas juga ditanamkan dengan fahaman bahawa musuh mereka yang
paling nyata adalah UMNO, oleh itu 'jihad' mereka ialah menghapuskan
kuasa politik UMNO biar pun parti terbesar orang Melayu itu telah banyak
berjasa kepada bangsa, agama dan negara.
Berikutan keadaan itulah, DAP dan PKR tidak akan meninggalkan Pas,
apatah lagi Pas dilihat 'pak turut yang baik' kerana tidak pernah
membantah kehendak, kemahuan dan arahan mereka.
Bagaimanapun apa yang perlu difikirkan oleh orang Melayu apakah corak
politik yang diamalkan pembangkang sekarang akan menguntungkan masa
depan mereka atau tidak.
Pilihan raya umum akan datang bukan soal untuk memberi kuasa kepada
mana-mana parti semata-mata tetapi sebaliknya menentukan survival
perjuangan dan kepentingan orang Melayu tidak tergugat di samping
memastikan kaum-kaum lain tidak dipinggirkan.
Jelaslah, DAP dan PKR menerima Pas bukannya bagi membantu parti yang
diasaskan oleh para ulama tersebut meneruskan perjuangan Islam tetapi
semata-mata untuk meraih kuasa politik. Seperti mana pernah diperkatakan
sebelum ini, DAP dan PKR sama sekali tidak akan membiarkan Pas dominan
atau menjadi tonggak utama pakatan pembangkang.
Jika DAP dan PKR ikhlas serta mengiktiraf Pas sebagai parti yang
mewakili orang Melayu dan umat Islam yang merupakan kelompok terbesar
rakyat di negara ini, maka mereka perlu benarkan Pas menjadi parti utama
dalam pakatan pembangkang.
Melalui cara demikian barulah mimpi Pas siang dan malam untuk menggantikan UMNO akan menjadi kenyataan.
Bagaimanapun kita yakin, harapan untuk melihat Pas menjadi suara
utama dalam pakatan pembangkang hanyalah mimpi kerana selain DAP dan PKR
tidak akan mengizinkan, Pas juga ketandusan pemimpin yang layak menjadi
pemimpin kepada ketiga-tiga parti berkenaan.
Sebab itulah, DAP dan PKR menyatakan kalau pun Datuk Seri Anwar
Ibrahim dipenjara sekali pun, beliau tetap dilantik sebagai Perdana
Menteri kalau pembangkang menang pilihan raya umum nanti.
Oleh itu adalah diharapkan orang Melayu tidak harus terpengaruh
dengan janji-janji manis pakatan pembangkang kononnya pakatan itulah
alternatif terbaik bagi menggantikan BN serta Pas adalah pengganti UMNO.
Semua itu hanyalah omong kosong kerana fakta sebenarnya ialah
kerjasama mereka bukanlah pakatan rakyat tetapi pakatan rapuh akibat
berbeza ideologi politik dan hala tuju perjuangan.
Mereka juga perlu menerima hakikat bahawa Pas tidak akan mampu
menggantikan UMNO kerana sepanjang perjalanan politiknya UMNO tidak
pernah menjadi 'pak turut' sesiapa, UMNO tidak mengorbankan prinsip
perjuangannya dan UMNO tidak pernah mengamalkan pendekatan matlamat
menghalalkan cara.
Apa pun UMNO lakukan adalah demi kepentingan orang Melayu dan umat
Islam serta bekerjasama dengan parti-parti komponen BN membela kaum-kaum
lain supaya kita mampu mewujudkan sebuah rakyat yang bersatu-padu bagi
membangunkan negara.
Tetapi apa akan berlaku jika rakyat menyerahkan kuasa kepada sebuah
pakatan politik yang menyaksikan satu parti dilihat cauvinis, satu parti
dilihat caca marba dan satu parti hanyalah 'pak turut'. Fikirkanlah!
/hwa: utusan.com.my | 9/2/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan