KOTA BHARU 13 Feb. - Pas hari ini mendesak
Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya
menarik balik kenyataannya yang menyokong sebarang usaha memastikan
keselamatan negara Israel seperti yang disiarkan dalam The Wall Street
Journal (WSJ) baru-baru ini.
Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga meminta Anwar
supaya menyaman WSJ sekiranya kenyataan tersebut telah diputar-belitkan
oleh media berkenaan.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas jawatankuasa tertinggi
parti itu dan Majlis Syura Ulama Pas bermesyuarat di Kuala Lumpur
semalam.
"Jawatankuasa Agung dan Majlis Syura membuat keputusan meminta saya
mengirim surat kepada Anwar supaya menarik balik kenyataannya mengenai
Israel sebagaimana yang disiarkan dalam WSJ.
"Sekiranya kenyataan WSJ tidak tepat, kita harap Anwar menyaman WSJ.
Saya telah menandatangani surat di Kuala Lumpur semalam dan insya-Allah
surat itu akan dihantar oleh Setiausaha Majlis Syura selepas ini,"
katanya pada sidang akhbar selepas majlis makan malam bersama Ahli
Majlis Fatwa Kebangsaan di Hotel GRV di sini malam ini.
Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Anwar dalam wawancara dengan WSJ baru-baru ini menyatakan sokongan
terhadap sebarang usaha bagi menjaga keselamatan negara Israel.
Ia telah mencetuskan bantahan umat Islam, malah ramai yang terkejut
dengan kenyataan Anwar itu termasuk diplomat negara-negara Islam
antaranya Duta Palestin ke Malaysia, Abdel Azeez Abughoush.
Menteri Besar itu bagaimanapun enggan mengulas mengenai pendapat
banyak pihak bahawa Anwar mengeluarkan kenyataan itu hanya untuk menarik
sokongan dari negara asing.
"Bila kita bersahabat kewajipan kita adalah tegur-menegur, apa yang
kita tengok kawan kita tidak betul kita tegur, apa yang kawan kita
tengok kita tidak betul dia tegur kita, itu ajaran agama.
"Saya telah tunaikan tanggungjawab sebagai seorang kawan dan
Mursyidul Am Pas supaya dia tarik balik kenyataannya mengenai Israel
kerana Israel ini negara haram. Saya telah sebut kepada Duta Amerika
Syarikat ketika dia datang ke pejabat saya dua tahun lepas, saya kata
kalau selipar Jepun sekali pun tidak ada hak untuk ambil negara kita,
inikan pula negara Palestin. Siapa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
(PBB), pandai-pandai bahagi dua bumi Palestin," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 14/2/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan