KUALA LUMPUR 15 Feb. - Dakwaan kononnya Malaysia
juga mempunyai hubungan dengan Israel adalah satu taktik yang dilihat
cuba menyelamatkan imej Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Malah, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, tidak
mustahil dakwaan itu dikeluarkan oleh Israel sendiri sebagai sokongan
kepada Anwar yang kini dikecam banyak pihak ekoran kenyataan beliau
menyokong rejim Zionis itu baru-baru ini.
''Saya melihat pendedahan statistik mengenai perniagaan antara
Malaysia dan Israel itu adalah usaha pihak-pihak tertentu untuk
menyokong Anwar. Malah, tidak mustahil ia dilakukan oleh rakan-rakan
Anwar di negara itu sendiri kerana beliau sememangnya 'kawan baik'
Israel.
''Tetapi pada hakikatnya, kita tidak mempunyai hubungan diplomatik
dengan Israel," kata beliau kepada pemberita selepas sesi bertemu dengan
pelajar dan kakitangan Universiti Perdana di Serdang, dekat sini, hari
ini.
Dr. Mahathir berkata demikian sebagai reaksi kepada desakan pelbagai
pihak termasuk Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Nik Mat yang meminta
Anwar membuat kenyataan terbuka sama ada mahu menarik balik sokongan
terhadap Israel atau menyaman The Wall Street Journal (WSJ) yang mengeluarkan kenyataan beliau itu.
Bagaimanapun beberapa blog propembangkang yang dilihat cuba
menyelamatkan imej Anwar mendakwa, terdapat bukti bahawa dua syarikat di
Johor berdagang minyak kelapa sawit dengan rakan perniagaan mereka dari
Israel.
Menurut Dr. Mahathir, kenyataan Anwar yang menyokong Israel itu
menunjukkan bahawa beliau adalah individu yang tidak boleh dipercayai.
Tambah beliau, Anwar juga merupakan individu yang boleh menjelma
menjadi pelbagai 'jenis' manusia serta tiada pegangan tetap mengenai apa
sahaja.
''Kalau dengan orang Cina, dia (Anwar) jadi orang Cina, kalau dengan
orang Melayu, dia jadi orang Melayu, kalau dengan orang Islam, dia jadi
ulama.
''Bila dengan Israel, dia menyokong Israel," katanya.
Ketika ditanya mengenai dakwaan bahawa Malaysia menghentikan
penghantaran minyak masak ke Iran tetapi tidak ke Israel, Dr. Mahathir
berkata, perkara itu perlu disahkan kebenarannya oleh kerajaan.
Begitupun kata beliau, apa yang perlu difahami ketika ini juga adalah
hakikat bahawa kerajaan menerima tekanan yang cukup kuat daripada kuasa
besar dunia terutamanya Amerika Syarikat (AS) dalam beberapa perkara.
''Jika kita tidak ikut, banyak halangan dan ugutan yang akan
dikenakan seperti menghalang bank-bank negara itu menjalankan perniagaan
di sini.
''Kita sebenarnya tidak bebas walaupun kita sudah merdeka," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 16/2/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan