KUALA LUMPUR 15 Feb. – Pas perlu membuktikan keikhlasan parti itu
memperjuang hak Palestin dengan meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR)
kerana jelas perbuatan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyokong keselamatan
Israel adalah haram seperti yang ditegaskan Datuk Seri Abdul Hadi Awang
sebelum ini.
Bekas Naib Ketua Angkatan Muda PKR, Mohd. Zahid Md. Arip berkata,
desakan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat agar Anwar
menarik balik kenyataannya dan menyaman The Wall Street Journal (WSJ)
tidak mencukupi untuk membuktikan keikhlasan Pas mempertahan perjuangan
Palestin.
Menurutnya, desakan Nik Abdul Aziz itu tidak lebih sekadar sandiwara
politik jika parti tersebut masih mahu bersama dengan PKR dan pakatan
pembangkang sedangkan Anwar secara terbuka menyokong keselamatan Israel,
sesuatu yang bertentangan dengan prinsip Pas dan perjuangan umat Islam
seluruh dunia.
“Desakan ini perlu disusuli dengan tindakan meninggalkan PKR dan
pembangkang dengan segera jika Pas bukan bersandiwara kerana kita
melihat Pas hanya sekarang membuka mulut dalam isu sokongan Anwar
terhadap keselamatan Israel ini, kenapa selama ini diam kalau Pas
benar-benar ikhlas mempertahan Palestin.
“Saya percaya tindakan Nik Abdul Aziz ini lebih kepada kepentingan
politik kerana beliau menyedari Pas kini berada dalam situasi yang cukup
negatif ekoran kenyataan Anwar, sebab itu baru sekarang mereka berani
bersuara,” katanya dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia di sini
semalam.
Mursyidul Am Pas itu dalam satu kenyataan yang dianggap paling keras
setakat ini mendesak Anwar menarik balik kenyataan menyokong keselamatan
Israel dan turut meminta ketua pembangkang itu menyaman WSJ sekiranya
kenyataannya diputar-belitkan.
Beberapa hari lalu pula, Abdul Hadi menegaskan Pas menolak
penyelesaian dua negara kerana haram bagi mana-mana umat Islam menerima
kewujudan Israel, selain telah menjadi fardu ain kepada orang Islam
untuk membela dan membebaskan rakyat Palestin yang sekian lama dizalimi
rejim zionis.
Dalam perkembangan yang sama, Mohd. Zahid tidak menolak kemungkinan
Anwar akan menemui Nik Abdul Aziz dalam masa terdekat ini bagi
menyelesaikan isu tersebut dan sebaik sahaja pertemuan itu berlangsung,
kedua-dua tokoh pembangkang berkenaan akan menjadikan UMNO sebagai
kambing hitam.
“Berdasarkan pengalaman lalu itulah taktik Anwar setiap kali beliau
tersepit. Saya percaya selepas bertemu dengan Nik Abdul Aziz, isu Anwar
menyokong keselamatan Israel tidak akan timbul lagi sebaliknya yang akan
dituduh selepas ini adalah UMNO, kononnya semua ini adalah fitnah
UMNO,” dakwanya.
/hwa: utusan.com.my | 16/2/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan