KEPALA BATAS 15 Feb. - Ketika banyak pihak
menyambut 14 Februari sebagai Hari Kekasih, gabungan 10 pertubuhan bukan
kerajaan (NGO) Islam di Pulau Pinang pula menjadikan tarikh itu sebagai
Hari Kempen Menutup Aurat Antarabangsa.
NGO yang terlibat ialah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Aktivis
Pengupayaan Insan (API), Pertubuhan Ikram Pulau Pinang, Pertubuhan ISMA
Pulau Pinang dan Kelab Remaja Lestari (KRL).
Turut serta Komuniti Suara Kehidupan, Nisa' Pulau Pinang, Kariah
Masjid At Taqwa, Bertam, Persatuan Ulama Malaysia (PUM) cawangan Pulau
Pinang dan Pertubuhan Menangani Gejala Sosial Malaysia (Unggas).
Selain di Malaysia, kempen sama turut diadakan di Thailand, Macau,
Hong Kong, Indonesia dan England yang memfokuskan kepada usaha menarik
minat masyarakat umum supaya menutup aurat dan menjaga pergaulan di
kalangan umat Islam.
Menurut wakil NGO terbabit, Mardziah Zakaria, objektif utama kempen
itu adalah mewujudkan remaja yang beradab mulia, berakhlak murni dan
berketrampilan sebagai remaja Muslim.
"Kita telah mulakan kempen ini dengan program turun padang di hentian
Rehat dan Rawat (R&R) Pantai Bersih dan Queensbay Mall malam Ahad
lalu dengan mengadakan aktiviti penyampaian tudung percuma kepada remaja
perempuan.
"Kita bersyukur mendapat sambutan menggalakkan daripada remaja dan
ramai yang menyambut baik kempen kami," katanya yang juga Ketua Hal
Ehwal Wanita Masjid At Taqwa pada sidang akhbar di sini, semalam.
Tambahnya, kempen serupa juga akan diteruskan menerusi laman sosial Facebook kerana ia lebih dekat di hati remaja.
Malah jelasnya, menerusi laman sosial itu, semua aktiviti NGO
terbabit di setiap negara dapat dikongsi bagi penghayatan bersama dan
berkongsi maklumat mengenai kempen terbabit.
"Sejak seminggu dilancarkan, hampir 1,000 remaja telah menyertai
kami. Kempen ini bukan sekadar dijalankan pada tarikh 14 Februari sahaja
malah akan diteruskan setiap masa," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 16/2/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan