KUALA LUMPUR 8 Mac - Tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta campur
tangan asing dalam sistem demokrasi di negara ini merupakan perbuatan
yang boleh membahayakan keselamatan dan kedaulatan negara.
Ketua Umum Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Abu Bakar
menyifatkan Ketua Pembangkang itu telah menjadi broker kepada kuasa
asing yang seterusnya boleh membawa keadaan kucar-kacir di negara ini.
"Kalau kita tengok balik sejarah, Melaka tidak akan tumbang sekiranya tiada pengkhianat yang membukakan pintu kepada Portugis.
"Sekiranya Anwar dapat memerintah pun, dia tidak lebih daripada
menjadi boneka kepada kuasa-kuasa asing yang sebelum ini dia minta
campur tangan," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas pendedahan dua pucuk surat
yang didakwa ditulis oleh Anwar kepada sebuah organisasi yang mempunyai
kaitan dengan sebuah agensi perisikan antarabangsa pada tahun 2007 bagi
meminta campur tangan asing untuk memberi tekanan kepada Suruhanjaya
Pilihan Raya (SPR).
Surat-surat itu yang dipaparkan menerusi blog AIDC di www.anwaraidc.com
semalam mendedahkan permohonan Anwar bagi tujuan tersebut kepada
Presiden National Endowment for Democracy (NED), Carl Gershman yang juga
merupakan seorang tokoh Yahudi.
Sementara itu, menurut Setiausaha Kerja Gabungan NGO Malaysia (GNM), Mohd. Arafat Muhabat, Anwar begitu terdesak untuk mendapat Putrajaya sehingga sanggup melakukan apa sahaja termasuk menjual negara ini.
"Apabila kita melihat negara yang mengalami campur tangan asing,
semua kekayaan ekonomi akan diperah oleh orang luar sehingga rakyat
sendiri tidak dapat merasa apa pun.
"Masyarakat perlu tahu bahawa Anwar adalah risiko besar kepada negara
kerana sekarang ini pun dia sanggup memburuk-burukkan Malaysia setiap
kali berada di luar negara," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 9/3/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan