SHAH ALAM 13 Mac - Parti Keadilan Rakyat (PKR)
didakwa meminta bantuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) asing yang ada
kaitan dengan Yahudi untuk memenangi pilihan raya di negara ini.
Koordinator Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed (gambar)
berkata, bukti-bukti yang sebahagiannya diterima daripada sumber
dalaman PKR itu menunjukkan parti tersebut menjalin kerjasama dengan
Konrad Adeneur Foundation (KAF).
Beliau berkata, KAF merupakan sebuah pertubuhan yang membantu
golongan neo-konservatif Yahudi melalui sebuah jawatankuasa yang
dikenali American Jewish Committee (AJC) dan dipercayai menerima dana
daripada National Endownment for Democracy (NED) yang juga didakwa turut
mempunyai pertalian dengan Anwar.
''Bukti yang ada menunjukkan Penasihat parti tersebut, Datuk Seri
Anwar Ibrahim Anwar sememangnya menjalinkan kerjasama dengan
pertubuhan-pertubuhan luar, selain menerima dana serta latihan bagi
membolehkan mereka menguasai negara ini,'' katanya pada sidang akhbar di
sini hari ini.
Beliau berkata, dalam membantu PKR, KAF dikatakan menggerakkan
operasi di negara ini melalui dua pendekatan yang dikenali sebagai
'dialog politik' termasuk ceramah dan 'pembangunan media' untuk
merealisasikan agenda tersebut.
Selain itu, katanya, selain KAF, salah satu cabang di bawah NED iaitu
National Democratic Institute for International Affairs (NDI) didakwa
turut terlibat secara langsung membantu PKR dan Anwar dari segi dana dan
buah fikiran untuk menguasai politik di negara ini.
''NDI didakwa turut menyediakan buku panduan yang menggariskan pendekatan dan kaedah untuk PKR memenangi pilihan raya.
''Kita ada bukti, dokumen serta surat-surat rasmi yang mengaitkan
pembabitan Anwar mengenai perkara ini. Malah, buku panduan yang
diterbitkan NDI itu turut diterjemah kepada beberapa bahasa iaitu bahasa
Melayu, Tagalog, bahasa Indonesia dan Thailand.
''Apa tujuan NDI menghasilkan buku panduan itu yang seolah-olah
menjadi 'kitab' kepada pakatan pembangkang khususnya PKR. Apa
rasionalnya pihak asing memberi panduan kepada PKR untuk menguasai
politik negara ini kalau tidak disusuli dengan agenda-agenda tertentu,"
katanya.
Dakwa Mohd. Zin lagi, berdasarkan buku panduan yang dikenali sebagai
'Buku Panduan Perancangan Kempen Politik' antaranya menyentuh mengenai
pendekatan menyebarkan dakyah bahawa kononnya Malaysia tidak mempunyai
kebebasan media dan beragama.
Buku panduan itu, dakwa beliau, turut menerbitkan prakata daripada
individu yang dikenali sebagai 'Stephanie Lynn' yang merupakan Pengarah
Program Kanan NDI dan bertanggungjawab menguruskan program-program
agensi itu di Malaysia dan Myanmar.
Pada masa yang sama, Mohd. Zin turut menjelaskan gerakan Anwar dan agensi asing itu bermula selepas pilihan raya umum 2004.
''Ia kemudiannya berlanjutan bagi menghadapi pilihan raya umum 2008
dan berterusan menerusi gerak kerja untuk pilihan raya umum akan
datang,'' katanya.
Pada masa yang sama, beliau mendakwa, kaedah yang dilancarkan oleh
Anwar dan agensi asing itu turut melibatkan pendekatan 'kempen
kebencian' bagi menimbulkan kebencian rakyat terhadap kerajaan BN
termasuk menyentuh isu-isu sensitif.
''Contoh paling nyata ialah mereka secara halus menggunakan isu
Hindraf bagi membangkitkan kemarahan rakyat. Begitu juga pada pilihan
raya negeri Sarawak sebelum ini apabila pemimpin-pemimpin PKR tidak jemu
menggunakan isu Kristian bagi mewujudkan perpecahan rakyat berbilang
kaum.
''Anwar sendiri pernah mengucapkan mengenai 'Arab Spring' bagi
memberi idea kepada rakyat bahawa 'Malaysia Spring' akan berlaku. Beliau
menggunakan pengaruh golongan muda dan contoh-contoh kejatuhan rejim di
negara-negara Asia Barat untuk menghasut rakyat membenci pemimpin
mereka. Semua itu merupakan idea dan buah fikiran KAF dan NDI,"
tegasnya.
Kata beliau, kempen kebencian itu dilihat amat berbahaya dan
berunsurkan subversif yang boleh menggugat keselamatan rakyat dan
negara.
''Berdasarkan maklumat yang diterima, KAF juga turut menaja ejen-ejen
yang terpilih dalam pakatan pembangkang untuk mengikuti latihan
meliputi penyusunan propaganda; gerak kerja unit khas DUN (Dewan
Undangan Negeri) dan pasukan Khas; Perisian SisMap (sistem pangkalan
data) serta menggodam e-mel individu yang disasarkan terutamanya agensi
kerajaan," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 14/3/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan