KUALA LUMPUR 19 Mac - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim
hadir di persidangan India Today Conclave pada 16 dan 17 Mac lalu yang
turut disertai penulis buku kontroversi, Salman Rushdie.
Malah, pada persidangan itu, beliau turut menyampaikan ceramah
bertajuk 'Dari Diktator ke Demokrasi: Kejayaan Rakyat' manakala Salman
menyampaikan ceramah bertajuk 'Merdeka: Saya Adalah Saya dan Itulah
Saya'.
Mengikut jadual persidangan pula, Anwar dan Salman masing-masing
telah menyampaikan ceramah pada 16 Mac.
Terdahulu dalam Twitternya, Anwar memberitahu beliau serta isteri,
Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail tidak akan datang ke persidangan
itu sebagai membantah kehadiran Salman yang menghina Islam dan Nabi
Muhammad SAW.
Laporan mengenai kehadiran Anwar itu didedahkan blog antarabangsa dan
juga blog tempatan antaranya, rbfonline.net dan pisau.net.
Satu-satunya ahli panel yang memboikot persidangan tersebut adalah
bekas pemain kriket Pakistan yang kini menceburi dunia politik, Imran
Khan kerana beliau membantah kehadiran Salman.
Pada tahun 1988, Salman menerbitkan buku Satanic Verses dan
antara kandungannya, beliau mendakwa, wahyu kepada Rasulullah dihantar
syaitan sebelum Baginda menyampaikan sebagai ayat atau surah dalam
al-Quran.
Salman juga mendakwa Mekah adalah pusat pelacuran yang diuruskan oleh
isteri-isteri Rasulullah dan panglima perang Islam yang berjaya
membebaskan Baitulmuqaddis semasa Perang Salib sebagai syaitan.
Tindakan itu mengundang kemarahan umat Islam di seluruh dunia
sehingga banyak pihak memfatwakan Salman halal dibunuh tetapi penulis
biadap tersebut kemudian diberi perlindungan oleh Britian.
/hwa: utusan.com.my | 20/3/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan