SHAH ALAM 19 Mac – Kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak
Setia, Datuk Dr. Hasan Ali mencuri tumpuan ahli dewan, pengamal media
dan para jemputan yang hadir pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN)
Selangor kali ini.
Ini merupakan kali pertama bekas Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal
Ehwal Islam, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri itu hadir sebagai
wakil rakyat Bebas selepas beliau digugurkan daripada jawatan itu pada
Januari lalu ekoran pemecatannya daripada Pas.
Hasan dipindahkan ke bahagian belakang kawasan wakil rakyat Barisan
Nasional (BN) manakala tempat duduknya sebelum ini digantikan oleh
seorang lagi Exco kerajaan negeri dari Pas iaitu Ir. Iskandar Abdul
Samad yang juga merupakan ADUN Cempaka.
Ketika ditemui pemberita, Hasan berkata, beliau akan terus membawa
perjuangan memartabatkan Islam, Melayu dan Raja-raja (IMR) dalam sidang
DUN.
Hasan berkata, ini kerana sepanjang pengalamannya berada dalam
barisan Exco kerajaan negeri sejak lebih tiga tahun, beliau melihat
berlaku kepupusan terhadap perjuangan memartabatkan IMR kerana Kerajaan
PKR Selangor tidak serius memperjuangkan ketiga-tiga agenda berkenaan
“Saya akan menggunakan peluang pada sidang DUN kali ini untuk
mengetengahkan agenda memartabatkan Islam, Melayu dan Raja-raja di
negara ini kerana selama menjadi Exco sebelum ini, saya tidak nampak
kerajaan negeri membawa agenda tersebut.
“Saya juga akan mengambil peluang untuk menjelaskan mengenai salah
tanggapan orang ramai bahawa Hasan Ali sebagai rasis dan chauvinis,”
katanya selepas perasmian pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima
Sidang DUN kali ke-12 oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris
Shah hari ini.
Hasan berkata, beliau juga telah bersedia berhadapan dengan barisan
kepimpinan kerajaan negeri yang merupakan ‘sekutu’ lamanya, malah tetap
yakin dengan kemampuannya sebagai wakil rakyat Bebas.
“Tidak ada sebarang masalah untuk berhadapan dengan mereka (pemimpin
Kerajaan PKR Selangor) kerana saya dipecat dari Pas dengan bermaruah
bukannya kerana saya terima rasuah atau melakukan kesalahan meliwat.
“Sebaliknya, saya dipecat kerana lantang memperjuangkan IMR yang
mungkin kurang disenangi oleh DAP,” tegasnya.
Sementara itu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata,
beliau bersedia untuk berhadapan dengan apa sahaja isu yang akan
dibangkitkan oleh Hasan pada sidang DUN kali ini kerana menganggap ADUN
Gombak Setia itu sebagai wakil kepada rakyat di kawasan berkenaan.
“Peranan persidangan DUN adalah untuk memberi peluang kepada setiap
wakil rakyat melontarkan segala pandangan atau masalah di kawasan
mereka.
“Maknanya apabila (Hasan) dipilih oleh rakyat untuk menjadi wakil di
kawasan mereka, beliau berhak untuk membangkitkan apa sahaja isu,”
katanya.
/hwa: utusan.com.my | 20/3/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan