24 April 2012

30 artis sertai BAN sokong kerajaan

DR. ZAMBRY Abd. Kadir (lima dari kiri) bersama sebahagian pemain pasukan Barisan Artis Nasional ketika perlawanan persahabatan antara pasukan pilihan Menteri Besar Perak di Padang Ipoh, Perak, semalam. 
-----------------------------
IPOH 21 April - Seramai 30 artis terkenal tanah air hari ini menyertai persatuan Barisan Artis Nasional (BAN) sebagai tanda sokongan terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).
Antara artis berkenaan adalah Adlin Aman Ramli, Datin Emylia Rosnaida, Emelda Rosmila, Azza, Ery Putra, Isma AF, Angeline Tan dan Shajiry Damery.
Presiden BAN, Datuk AC Mizal berkata, BAN yang merupakan persatuan berasaskan kesenian dan hiburan itu akan menyokong dan membantu kerajaan dalam melaksanakan agenda pembangunan kesenian dan kemasyarakatan.
Beliau turut menegaskan, sebagai pertubuhan yang menghimpunkan barisan artis dan penggiat tanah air, BAN tidak akan menyokong sebarang anasir-anasir yang cuba meruntuhkan perpaduan, kesejahteraan dan kedaulatan negara.
''Sebagai pertubuhan yang menghimpunkan artis tanah air, kami menyokong dan berpendirian teguh dalam menyokong kerajaan pemerintah," katanya pada majlis pelancaran BAN yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir di sini malam tadi.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Pelancongan, Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan negeri, Datuk Hamidah Osman.
AC Mizal yang juga Duta Tahun Melawat Perak (TMP) 2012 berkata, pada masa sama, BAN merupakan landasan untuk golongan artis menyokong sektor pelancongan negeri melalui pelbagai program yang dianjurkan.
"Saya percaya golongan artis adalah antara komponen penting dalam usaha mempromosikan pelancongan Perak ke serata dunia.
"Selain berbakat dalam bidang seni, artis dilihat mempunyai hubungan yang sangat terbuka dengan masyarakat dan ini dilihat memberi impak yang baik kepada sektor pelancongan di negeri ini," katanya.
Sementara itu, ketika bercakap kepada pemberita, Zambry berkata, penubuhan BAN memperlihatkan sokongan golongan artis terhadap usaha-usaha pembangunan yang dijalankan oleh kerajaan selama ini.
Ditanya kemungkinan timbul isu baru yang dibangkitkan pembangkang berhubung penubuhan BAN, beliau berkata, ia merupakan perkara biasa yang dilakukan oleh pihak berkenaan.
"Pembangkang ini kerjanya meletakkan beban itu di kepala kita dan kemudian minta kita pula berfikir untuk menangkis tuduhan yang ditimbulkan tanpa sebarang soal selidik.
"Ini satu taktik mereka. Betul atau tidak, itu perkara lain tetapi yang penting apa yang dilemparkan itu memberi kesan negatif kepada kita," katanya.
/HWA: utusan.com.my | 22/4/12

Tiada ulasan: