KUALA LUMPUR 18 April - Selepas berhasrat memansuhkan pinjaman
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) jika pembangkang
memenangi pilihan raya umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini bertindak
sebaliknya.
Beliau dengan tegasnya menyatakan bahawa golongan kaya perlu membayar semula pinjaman tersebut.
Kenyataan tersebut dilihat tidak selari dengan hasrat beliau sebelum
ini yang mahu memberikan pendidikan percuma kepada semua melalui
pemansuhan pinjaman berkenaan.
Sambil mendakwa dan menyifatkan tindakan anak lelaki kepada Ketua
Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Bhd. (AirAsia), Tan Sri Tony
Fernandes memohon pinjaman PTPTN sebagai tidak munasabah, jelas Ketua
Pembangkang itu, peluang pendidikan bukanlah satu masalah kepada
golongan kaya.
''Golongan kaya perlu membayar semula pinjaman melalui PTPTN walaupun
pakatan pembangkang komited untuk memansuhkan bayaran itu. Peluang
pendidikan bukanlah satu masalah kepada golongan kaya dan 'maha' kaya.
"Saya dengar, anak lelaki bos AirAsia (Tony Fernandes) pun memohon pinjaman PTPTN. Ini tak munasabah," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat majlis pimpinan pembangkang di sini hari ini.
Anwar sebelum ini berhasrat mahu memansuhkan PTPTN sekiranya
pembangkang memenangi pilihan raya umum akan datang dan beliau menjadi
Perdana Menteri.
Bagaimanapun, perkara itu mendapat reaksi berbeza pelbagai pihak
termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang
menjelaskan tindakan itu menunjukkan Anwar sudah lupa apa yang telah
dilakukannya ketika menjadi Menteri Kewangan semasa penubuhan PTPTN
dahulu.
Sebelum ini, Utusan Malaysia yang memetik kenyataan pengendali blog RBF Online melaporkan Anwar merupakan individu yang bertanggungjawab meluluskan penubuhan PTPTN pada 1 Julai 1997.
Menurut blog tersebut, pada 1997, Dr. Mahathir yang merupakan Perdana
Menteri ketika itu mengambil cuti dua bulan lebih dan melantik Anwar
yang merupakan timbalannya sebagai Pemangku Perdana Menteri.
Blog berkenaan mendakwa Anwar dilantik sebagai Pemangku Perdana
Menteri bermula 9 Mei sehingga 26 Julai 1997 dan dalam tempoh itu beliau
mempunyai kuasa yang dimiliki oleh seorang Perdana Menteri.
/HWA: utusan.com.my | 20/4/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan