MASYARAKAT hari ini semakin selektif kesan daripada globalisasi yang
membawa pelbagai bentuk saluran maklumat dengan kadar yang cepat.
Menyedari hakikat itulah, pentingnya para pemimpin hari ini menggunakan fakta semasa berdepan dengan khalayak masyarakat.
Penekanan kepada budaya politik matang adalah antara intipati
wawancara bersama Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang dimuatkan dalam
Mingguan Malaysia pada 15 April lalu.
Beliau juga memberikan beberapa contoh pendekatan yang digunakannya sendiri dalam usaha menangani dan menguruskan persepsi.
Apa yang ditekankan oleh Menteri Pertahanan itu sebenarnya juga dapat
kita telusuri dalam khazanah manuskrip dan peribahasa Melayu kita.
Pemimpin yang konsisten berhujah menggunakan fakta tidak mustahil
akan mempengaruhi tanggapan rakyatnya walaupun sebelum itu mungkin
mereka begitu tegar untuk tidak berpihak dengannya ibarat "batu yang
keras air pelekuknya, hati yang keras lidah pelembutnya".
Sebaliknya, keadaan "umpama kita membawa jarum, dia menyambut dengan
gunting" akan timbul kerana kegagalan pemimpin berhujah dengan fakta
walaupun mungkin pemimpin itu ikhlas mahu membantu kepada pencerahan
masa depan rakyatnya.
Pemimpin yang berhujah tanpa fakta juga "umpama hendak menepung tiada
berberas". Akibatnya, mesej yang mahu disampaikan kepada rakyat gagal
difahami kerana mudah benar dimanipulasi. Tidak dapat disangkal lagi,
fakta yang jelas adalah syarat utama dalam proses menangani persepsi
rakyat.
Usahlah seseorang pemimpin itu bersikap "tak tahu menganyam, pandan
disalahkan" atau "tidak tahu menari dikatakan lantai jongkang-jongket".
Menganggap rakyat sebagai lupa diri atau tidak kenang budi atas jasa
bakti yang sebelum ini diberi pasti tidak akan timbul jika pemimpin
bijak mengatur fakta dalam berhujah.
Namun, dalam masa fakta dalam hujah diberi keutamaan ada ketikanya
sesuatu perkara itu menjadi lebih baik untuk tidak dihebahkan. Biarlah
hal itu "ditelan menjadi manikam" kerana jika "dimuntahkan menjadi
sekam".
Hujah yang mengandungi fakta juga dapat mengelak daripada berlakunya
persengketaan kerana "setajam-tajam pedang tumpul dijilat lidah"
manakala pelaksanaan sebarang tindakan eloklah menurut resmi sirih.
Orang tua-tua dahulu telah berpesan "umpama sirih, menjulur dahulu
kemudian melilit, sudah melilit barulah memanjat ke pucuk junjung".
Jelas, para pemimpin pun tidak terkecuali daripada mematuhi ketertiban
dan peraturan apabila tampil berkomunikasi dengan rakyat.
Pemimpin yang bercakap tanpa fakta sebaliknya hanya cakap besar
tetapi kosong akan dilihat oleh rakyat "bagai gelegar buluh" serta tidak
dipercayai lagi seperti "gaharu dibakar kemenyam berbau".
Demikianlah beberapa ungkapan daripada lebih 2,000 peribahasa asli
Melayu yang terkandung dalam Tikaman Bahasa yang telah disusun oleh
Muhammad Adnan Muhammad Ariffin pada 79 tahun lalu.
Banyak lagi ungkapan peribahasa Melayu yang wajar diambil iktibar
oleh para pemimpin kita supaya pemikiran mereka tampil lebih bijaksana
dan boleh dipercayai di mata rakyat.
/HWA: utusan.com.my | 18/4/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan