19 April 2012

DAP angkuh dakwa dapat sokongan masyarakat

KUALA LUMPUR 17 April - Kepimpinan DAP dilihat semakin angkuh apabila mendakwa mendapat sokongan masyarakat di seluruh negara sejak mencapai kemenangan besar pada pilihan raya umum lalu.
Setiausaha MCA Perak, Datuk Tan Chin Meng berkata, DAP seolah-olah yakin bahawa mereka akan memenangi semua kawasan yang bakal ditandingi termasuk kawasan yang tidak pernah dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-13.
"DAP cuba memperdaya sokongan masyarakat untuk memenangi pilihan raya umum namun selepas memperoleh kepercayaan itu, mereka akan memulakan permainan politik yang menyusahkan rakyat," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang semalam menerusi sebuah akhbar tempatan berbahasa Cina yang menunjukkan keangkuhan parti itu apabila mendakwa memperoleh sokongan masyarakat tanpa mengira bangsa.
Menurut Chin Meng, DAP sepatutnya sedar bahawa pengundi hari ini semakin bijak dan akan menyokong pemimpin yang banyak berkhidmat di sesebuah kawasan serta tidak akan memberi sokongan kepada calon popular semata-mata.
"Apa yang ingin dilihat oleh masyarakat adalah tingkah laku calon dan rekod pencapaian sebelum ini tetapi DAP hanya bergantung kepada kemegahannya untuk memenangi undi," ujarnya.
Mengenai perkembangan di Perak, Chin Meng berkata, pelbagai pelan dan polisi yang memberi manfaat kepada semua masyarakat tanpa mengira kaum dan agama telah diperkenalkan sejak kerajaan Barisan Nasional (BN) mengambil alih tampuk pemerintahan negeri tersebut.
/HWA: utusan.com.my | 18/4/12

Tiada ulasan: