''JIKa mereka anak jantan pulangkan pinjaman (PTPTN)," itulah cabaran
yang dlontarkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed
Khaled Nordin yang semakin muak dengan gelagat pihak-pihak yang
menentang pinjaman berkenaan.
Bagaimanapun kita yakin bahawa puak- puak berkenaan termasuklah
segelintir mahasiswa yang melakukan demonstrasi tidak matang dan biadab
di Dataran Merdeka, sejak Ahad lalu tidak akan menyahut cabaran itu.
Kita harus memahami mahasiswa yang terlibat itu tidak tahu apa-apa,
mereka hanya dipengaruhi dengan mainan politik pembangkang. Mana mungkin
golongan yang belum pun menggenggam segulung ijazah dan ada pula
antaranya digantung pengajian akan begitu bijak mengatur strategi turun
ke jalanan.
Difahamkan, ketika demonstrasi berlaku, beberapa pemimpin pembangkang
turut turun kononnya untuk memberi sokongan moral kepada mahasiswa yang
menjadi 'boneka' mereka, tetapi apabila mahasiswa tersebut berkhemah
sehingga diusir oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tiada seorang
pemimpin pembangkang bersusah payah dengan mereka.
Kalau mereka kononnya pejuang sejati kepada golongan mahasiswa kenapa
tidak berkhemah bersama-sama, kenapa membiarkan golongan pelajar yang
masih mentah itu berhadapan dengan pihak berkuasa secara sendirian?
Keadaan itu jelaslah menunjukkan betapa jahilnya kelompok mahasiswa
tersebut yang begitu mudah menjadi 'boneka' dan alat kepada pihak lain.
Malang sekali impian ibu bapa yang menghantar anak untuk menimba ilmu di
menara gading, hanya menyaksikan anak mereka itu terpekik terlolong di
jalan raya.
Tindakan mahasiswa ini jauh berbeza dengan sekelompok lagi mahasiswa
yang bersedia menghadiri meja bulat anjuran Pergerakan Pemuda UMNO di
Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini bagi mencari
penyelesaian terbaik dalam isu PTPTN tersebut.
Mereka tidak mahu terpengaruh dengan mainan pembangkang, sebaliknya
sentiasa matang untuk mencari penyelesaian secara berhemah. Sebab itulah
kelompok mahasiswa yang berdemonstrasi di Dataran Merdeka tidak
mendapat sokongan. Tidak sampai 200 orang menghadiri perhimpunan haram
itu yang kesudahannya dikecam oleh blog-blog pakatan pembangkang
sendiri.
Sememangnya sejak awal lagi, tindakan berdemonstrasi itu adalah satu
perbuatan tidak matang kerana isu PTPTN bukannya boleh diselesaikan
dengan berarak di jalan raya atau menjadi bak pelarian dengan tinggal di
dalam khemah-khemah.
Semua itu hanya dilakukan oleh mahasiswa yang baru mengenal dunia dan
keterujaan mereka mencapai usia 'baligh' untuk berdemonstrasi. Tetapi
hakikatnya, apa yang mereka lakukan itu hanyalah sia-sia dan menunjukkan
betapa dangkal pemikiran mereka apabila begitu mudah dihasut dan
diperalatkan pihak lain bagi tujuan politik.
Justeru tidak perlulah kita merasa gundah gulana dengan puak-puak
mahasiswa yang berdemonstrasi itu, apatah lagi tindakan biadab mereka
meletakkan kalungan bunga pada gambar pemimpin-pemimpin negara jelas
membuktikan bahawa pemikiran mereka sudah dikuasai oleh politik
kebencian.
Walaupun ada antara mereka cuba membuat hujah dangkal apabila
menyatakan kalungan bunga itu bukan melambangkan kematian dan menafikan
bahawa mereka menyebut perkataan 'Allahyarham dan mendiang', namun
rakaman video ketika mereka melakukan perbuatan itu sudah tersebar luas
di blog-blog.
Kalaulah hujah mereka, kalungan bunga itu tidak menyentuh sensitiviti
mana-mana kaum, jelaslah mahasiswa tersebut sememangnya jahil dan tidak
layak belajar di universiti. Mungkin juga jika orang seperti ini
dihantar semula menjalani pengajian mana-mana sekolah rendah atau
menengah bagi membolehkan ia memahami adat resam masyarakat majmuk di
negara ini.
Sebab itulah, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dengan lantang membidas sikap biadab kelompok tersebut.
Bagi Khairy, apa pun hendak dilakukan oleh mahasiswa ia mestilah secara beradab dan bukannya dipengaruhi oleh emosi.
Apa pun, kerajaan tidak perlu tunduk dengan desakan segelintir
mahasiswa tersebut yang sudah menjadi alat kepada pembangkang. Menjelang
musim pilihan raya ini, banyak lagi isu yang akan menjadi landasan
kepada puak itu untuk turun ke jalanan.
Kalau kita asyik melayan kelompok mahasiswa yang belum matang ini dan
kerenah pembangkang yang bagi mereka tiada satu pun yang baik di pihak
kerajaan, sampai ke bila pun kita tidak akan maju.
Sebab itulah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata,
pelajar yang mahu PTPTN dihapuskan sepatutnya memulangkan pinjaman
mereka atau tidak mengambil pinjaman itu, bukannya mengadakan tunjuk
perasaan di jalan raya.
PTPTN adalah niat baik kerajaan untuk membantu golongan miskin
melanjutkan pelajaran. Mungkin bagi sesetengah pemimpin pembangkang,
mereka boleh berkata apa sahaja kerana anak-anak mereka bukannya
menuntut di universiti tempatan, mereka mempunyai sumber kewangan yang
kukuh untuk menghantar anak mereka menuntut di institusi pengajian
tinggi swasta atau ke luar negara.
Tetapi apa yang kerajaan buat dalam soal PTPTN ini adalah untuk
golongan miskin, orang kaya (mungkin juga di kalangan pemimpin
pembangkang) boleh berkata apa sahaja termasuklah menghasut supaya PTPTN
dihapuskan. Namun apa akan berlaku kepada pelajar miskin yang ingin
melanjutkan pelajaran ke universiti jika PTPTN tidak wujud? Apakah kita
hendak mengharapkan pendidikan percuma? Negara mana yang benar-benar
berjaya dalam memberi pendidikan percuma ini?
Kalau pun ada kenapakah pembangkang tidak membandingkan pertumbuhan
ekonomi negara berkenaan dengan Malaysia? Kenapakah menyembunyikan fakta
sebenar? Fakta ini tidak diketahui oleh kelompok mahasiswa yang turun
berdemonstrasi tersebut kerana mereka hanya tahu untuk berseronok dan
terpekik terlolong di jalan raya sahaja.
Oleh itu, dalam soal PTPTN ini, biarlah pembangkang yang
memperalatkan segelintir mahasiswa dengan telatah mereka. Percayalah
akhirnya kebenaran akan muncul . Apa yang penting kerajaan memberi
penjelasan terperinci kepada rakyat mengenai isu ini.
Kalau pembangkang berasa hebat sangat, maka pastikan semua institusi
pengajian tinggi di bawah mereka memberi pendidikan percuma. Tetapi
sekali lagi kita percaya pembangkang tidak berupaya berbuat demikian
kerana mereka hanya 'tin kosong yang bunyi sahaja kuat tetapi isinya
tiada.''
Tambahan pula, pembangkang pun tahu fakta sebenar memandangkan PTPTN
diwujudkan oleh pemimpin pujaan mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim,
kecuali bak kata Dr. Mahathir, ''itulah Anwar, dia lupa apa dia cakap."
Dan 'penyakit' lupa dan buat-buat lupa semakin ketara menyerapi pembangkang akibat sindrom 'tergila-gila' Putrajaya.
/HWA: utusan.com.my | 18/4/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan