SEMINAR anjuran bersama Jabatan Pelajaran dan Jabatan Mufti Johor
mengenai pemantapan akidah Islamiyyah dan bahaya fahaman liberalisme dan
pluralisme agama serta ancaman kristianisasi-evangelisasi terhadap umat
Islam, adalah usaha yang amat menepati firman Allah yang bermaksud :
Anda sekalian adalah umat terbaik yang dikeluarkan kepada manusia kerana
menyeru manusia kepada yang makruf (baik) dan mencegah kepada yang
mungkar (tidak baik).
Menyeru kepada yang makruf ialah mengajak untuk menegakkan tauhid dan
'akidah Islam, sementara yang mungkar pula adalah berusaha mencegah
perkara yang boleh membawa kekufuran dan kesyirikan.
Jabatan Pelajaran dan Jabatan Mufti perlu dipuji kerana melaksanakan
tanggungjawab mengikut kehendak Allah dan Rasul-Nya iaitu menjalankan
amanah memelihara agama dan umat Islam dari dirosakkan anasir-anasir
penghakis dan pemusnah akidah. Ini amat menepati dengan konsep dan
tujuan Maqosid Syari'ah iaitu memelihara al-Din atau agama.
Namun, usaha mulia ini yang menjunjung perintah Allah demi memelihara
al-Din itu diserang oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui kenyataannya
pada 28 Mac lalu yang menyifatkan ia sebagai usaha jijik politik dengan
menggunakan agama bagi menakut-nakutkan rakyat.
Orang Islam patut menilai kenyataan beliau ini secara serius dari
perspektif ajaran Islam dan implikasinya kepada kelangsungan akidah umat
yang sohih. Apakah usaha untuk memantapkan akidah Islamiyyah dan
menyekatnya dari dirosakkan oleh musuh sebagai usaha jijik?
Saya tidak terkejut dengan kenyataan ini dengan menyedari yang akidah
beliau ialah liberalisme dan pluralisme agama dalam erti semua agama
adalah sama benar dan sama tara, justeru penganut agama Islam tidak
boleh mendakwa yang agama mereka paling benar. Inilah premis berfikir
beliau.
Manakah yang sebenarnya jijik? usaha untuk memelihara akidah umat
Islam supaya kukuh berpegang kepada akidah Ahli Sunnah wa al-Jama'ah
atau pun usaha memurtadkan umat melalui penyebaran fahaman liberalisme
dan pluralisme Agama dengan menggunakan dana dan platform
Zionis-Kristian antarabangsa?
Sudah pasti mengguna dana dan platform Zionis-Kristian untuk
merosakkan akidah dan kesejahteraan umat Islam, bukan sahaja teramat
jijik lagi menjijikkan bahkan merupakan pengkhianatan dan jenayah paling
berat kepada akidah yang boleh membawa kepada pemurtadan.
Anwar menyelar program itu dan disifatkannya sebagai usaha politik,
tetapi, apakah kenyataan beliau yang menyerang penganjur program itu
bukan bersifat politik? Pada saya, kenyataan beliau jelas bersifat lebih
politik dari politik. Anwar mahu menunjukkan kepada pengundi bukan
Islam yang beliau bersama mereka dalam isu kesetaraan agama. Ini adalah
agenda golongan liberalis-pluralis.
Kalaulah mahu juga digunakan perkataan politik kepada program yang
dianjurkan oleh Jabatan Pelajaran dan Jabatan Mufti Johor itu, maka saya
berpendapat ia adalah program politik kenabian atau Siyasah Nabawiyyah.
Ini kerana tujuan program itu memelihara agama Islam dan umatnya dari
dirosakkan oleh fahaman Syirik golongan liberalis-pluralis dan Kristian.
Untuk rekod, Jabatan Mufti Johor dan seluruh Jabatan Mufti negeri
lain, amat peka dan konsisten dalam memelihara umat Islam dari terjebak
ke dalam ajaran yang boleh merosakkan akidah. Pada tahun 80an, mereka
mengadakan program membendung ajaran Syi'ah dan fahaman Wahhabiyah dan
kini program menangani gejala fahaman liberalisme-pluralisme dan
kristianisasi-evangelisasi pula.
Kenyataan Anwar bahawa penganjur menggunakan agama bagi menakut-nakut
rakyat adalah teramat anti agama dan anti al-Quran. Memang, salah satu
dari sifat dakwah Islam dan al-Quran ialah nazir iaitu memberi khabar
menakutkan manusia yang melakukan kesalahan berkaitan aktiviti
kemunafikan, kemaksiatan, kemungkaran, pemurtadan dan kekufuran, dengan
ancaman seksa pedih dalam neraka.
Maka amat tepat, relevan dan wajar, penganjur program tersebut
menegaskan semula dan memperingatkan masyarakat Islam dengan menekankan
ancaman liberalisme-pluralisme dan kristianisasi-evangelisasi yang
menjadi agenda pemurtadan di kalangan orang Islam. Al-Quran sendiri
menyatakan dan mengingatkan kita mengenai ancaman gerakan Yahudi dan
Kristian. Mereka itu semua tidak akan tidur lena selagi umat Islam tidak
dimurtadkan.
Bagi liberalis-pluralis, mereka tidak takut kepada ancaman
kristianisasi-evangelisasi, kerana bagi mereka, apa pun pegangan agama
seseorang itu, asalkan mereka percaya kepada tuhan yang satu, yang sama,
maka mereka semuanya akan selamat memasuki syurga Tuhan, tanpa mengira
apakah dia seorang Islam atau kristian pada entiti zahir seperti
pegangan Hossein Nasr dan Anwar.
Dengan pegangan ini, bagi golongan liberalis-pluralis, tidak ada
konsep iman dan kufur dan tidak ada konsep murtad seperti yang
diijmakkan dalam Islam. Sebab itu liberalis-pluralis tidak melihat usaha
mengeluarkan orang Islam dari agamanya sebagai suatu ancaman
permurtadan, sementelah pula Prof. Osman Bakar dari Institut
Antarabangsa Bagi Pengajian Islam menolak adanya pemansuhan Syari'at
Muhammadiyyah terhadap syariat Rasul-Rasul terdahulu.
Perlu dimaklumi bahawa konsep ancaman adalah suatu kaedah baku dalam
memelihara kemurnian peraturan dan undang-undang dalam mana-mana sistem
hidup di dunia ini seperti ancaman hukuman bunuh mandatori jika sabit
kesalahan membunuh orang atau ancaman penjara kepada peliwat atau
perasuah dalam undang-undang Malaysia.
Maka adalah suatu kewajipan penganjur program pemantapan akidah di
Johor itu menerangkan mengenai ancaman fahaman liberalisme-pluralisme
dan aktiviti kristianisasi-evangelisasi kepada umat Islam. Program itu
menepati kaedah agama iaitu kewajipan pihak yang diamanahkan menjaga
kemurnian akidah dan agama, menyekat punca yang membawa kepada kerosakan
agama iaitu: saddu'z-zara'i wajib.
Jika program yang dianjurkan oleh Jabatan Mufti dan pihak berkuasa
agama negeri untuk menjaga kemaslahatan umat dituduh sebagai bermain
politik, maka apa program yang patut dibuat oleh mereka? Logik dari
kritikan Anwar itu adalah dibiarkan sahaja ajaran sesat dan menyeleweng
berleluasa di kalangan masyarakat Islam.
Tindakan tidak boleh diambil kepada penyebar ajaran yang difatwakan
sesat seperti ajaran Aurat Muhammadiyyah tajaan al-Arqam; Aurat
Ismailiyyah, tajaan Mahmud Sik atau Mahmud Majzub (difatwa sesat oleh
Majlis Fatwa Kerajaan Kedah beberapa dekad dahulu dan kemudian oleh
Kerajaan PKR Selangor, baru-baru ini ); ajaran Ahmad Laksamana (difatwa
sesat oleh Kerajaan Pas Kelantan); ajaran Tariqah Maryamiyyah tajaan
Sayyed Hossein Nasr dan fahaman liberalisme-pluralisme tajaan Anwar dan
IKD-nya (yang juga difatwa sesat) kerana jika diambil tindakan, ia
dituduh bersifat politik, apa lagi jika kebetulan penganut ajaran sesat
itu penyokong mereka.
Maka implikasi dari sikap ini adalah tidak perlu ada undang-undang
yang menyekat penyebaran ajaran sesat dan perlu dicabut undang-undang
sedia ada yang melarang penyebaran agama selain Islam di kalangan umat
Islam. Beliau konsisten dengan pendirian liberalnya seperti dalam kes
Lina Joy, sebatan kepada Kartika, undang-undang mengenai LBGT,
penggunaan kalimah Allah dan sebagainya.
Serangan kepada program di Johor itu hakikatnya adalah sebahagian
daripada agenda golongan liberalis-pluralis untuk meneutralisasi
pemikiran dan pegangan akidah umat Islam, yang destinasi akhirnya adalah
menegakkan fahaman liberalisme dan pluralisme agama. Ini adalah proses
pemurtadan tanpa perlu ke gereja! Na'uzubillah.
/HWA: utusan.com.my | 3/4/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan