PUTRAJAYA 19 April – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari
ini mengumumkan 42 peluang perniagaan inovatif (IBO) yang ditawarkan
secara Tender Terbuka kepada komuniti perniagaan dan pelabur Malaysia.
Beliau berkata, kesemua 42 peluang yang diperkenalkan selaras dengan
hasrat kerajaan memperkasa proses inovasi dalam negara itu berpotensi
menjana pendapatan RM1 bilion dalam tempoh masa tertentu.
Perdana Menteri berkata, iklan mengenainya akan dimuatkan dalam semua
akhbar utama pelbagai bahasa esok, dan segala maklumat juga boleh
diperoleh menerusi laman web korporat Agensi Inovasi Malaysia (AIM).
"Ini merupakan peringkat permulaan, selepas ini Khazanah Hak Intelek
Malaysia (KHIM) akan memperluaskan lagi peluang-peluang inovasi ini, dan
akan jadi pusat sehenti untuk syarikat-syarikat perniagaan mencari
peluang inovasi,” kata beliau.
"Melalui cara ini syarikat-syarikat swasta kecil dan besar akan dapat
peluang untuk mempelbagai perniagaan mereka dan juga untuk mereka
mendahului pesaing-pesaing mereka,” kata Najib pada sidang media selepas
mempengerusikan mesyuarat keempat Majlis Tadbir Urus AIM di bangunan
Perdana Putra di sini.
Perdana Menteri, berkata beliau berharap syarikat-syarikat perniagaan
akan meneliti 42 pelung yang dikumpul oleh pihak universiti-universiti
tempatan dan juga pusat-pusat penyelidikan dalam negara itu, yang pada
pendapat AIM mempunyai potensi besar untuk dikomersilkan, menjana
pendapatan serta kekayaan untuk mereka yang terlibat, dan negara
keseluruhannya.
Menjawab soalan mengenai sokongan kepada syarikat-syarikat yang
terlibat, Najib berkata syarikat berkenaan boleh dipertimbangkan untuk
mendapat sokongan dari segi pinjaman dan insentif tertentu, namun ia
masih tertakluk kepada merit setiap kes.
Beliau berkata syarikat-syarikat yang berminat diberi tempoh sebulan
untuk mengemukakan cadangan kepada AIM, dan keputusan muktamad akan
dibuat oleh Majlis Tadbir Urus AIM.
AIM merupakan badan berkanun, ditubuhkan oleh Parlimen pada 2010
untuk memacu aktiviti dan inisiatif inovasi dalam negara, manakala
Majlis Tadbir Urus itu merupakan badan pengurusan yang bertanggungjawab
memberi nasihat serta panduan kepada AIM, di mana 17 anggotanya terdiri
daripada menteri-menteri kabinet dan pemimpin industri. - BERNAMA.
/HWA: utusan.com.my | 20/4/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan