Muhammad Zahid Md. Arip bersama S.
Nallakarupan (kiri) ketika sidang media penubuhan kelab Tolak
Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI) yang disertai oleh bekas-bekas
exco PKR di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 18 April - Bekas-bekas pemimpin
termasuk pengasas Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini bersatu
menubuhkan Kelab Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI) bagi
menggerakkan usaha untuk menyedarkan rakyat supaya menolak Datuk Seri
Anwar Ibrahim.
Kelab itu diketuai bekas Naib Ketua Angkatan Muda PKR, Muhammad Zahid
Md. Arip dan akan dilancarkan secara rasmi Ahad ini di Kelab Sultan
Sulaiman, Kampung Baru oleh Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia
(Perkasa), Datuk Ibrahim Ali yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas.
Menurut Muhammad Zahid, selain beliau yang akan bertindak selaku
Mursyidul Am TIBAI, seramai 28 bekas pemimpin PKR lain telah dilantik
sebagai ahli majlis syura dan mereka akan menggerakkan segala usaha bagi
memastikan cita-cita Anwar untuk bergelar Perdana Menteri dihalang.
"Matlamat TIBAI adalah untuk membangkitkan kesedaran maksimum di
kalangan rakyat agar menolak Anwar serta sekutu-sekutunya. Selaku bekas
pemimpin PKR kami cukup mengenali perilaku Anwar dan dengan jelas kami
nyatakan beliau tidak layak untuk memimpin negara.
"Kami akan turun ke seluruh negara untuk menyedarkan rakyat dan kami
sanggup berdepan dengan Anwar di mana sahaja ceramah ketua pembangkang
itu. Kami akan guna pendekatan sama sebagaimana kami membantu Anwar
dulu," katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Ahli Dewan Negara, Datuk S.
Nallakaruppan, bekas pengasas PKR, Ng Lum Yong serta beberapa bekas Exco
Angkatan Muda PKR.
Mengulas lanjut, Muhammad Zahid berkata, modus operandi yang akan
TIBAI gunakan pada kali ini adalah saling tidak tumpah seperti Gerakan
Sumpah Keramat yang pernah digerakkan Angkatan Muda PKR pada lewat tahun
90-an dahulu, tetapi dengan pendekatan yang pelbagai.
Katanya, keahlian TIBAI kini dibuka kepada seluruh rakyat Malaysia
yang berhasrat menolak cita-cita rakus Anwar dan penyertaan mereka tidak
dikenakan sebarang yuran keahlian sebaliknya, setiap ahli hanya perlu
beriktikad dalam hati demi agama, bangsa serta negara.
"Sesiapa sahaja yang cintakan keamanan, kestabilan, kemakmuran serta
sudah muak dengan permainan politik murahan Anwar yang menghalalkan apa
sahaja demi matlamat politik sehingga sanggup mengorbankan akidah
dipelawa menjadi ahli TIBAI," katanya.
Ditanya mengenai kemungkinan pembangkang akan mengaitkan TIBAI dengan
UMNO dan Barisan Nasional (BN), Muhammad Zahid berkata, itu memang cara
Anwar untuk 'lari' daripada isu sebenar tetapi beliau menegaskan kelab
tersebut tidak mempunyai sebarang kaitan dengan UMNO mahu pun BN.
Katanya, TIBAI bergerak atas kapasiti serta kemahiran bekas
pemimpin-pemimpin PKR itu sendiri kerana mereka semua memiliki
pengalaman berbuat demikian semasa era reformasi dahulu walaupun pada
ketika itu PKR tidak mempunyai dana yang mencukupi.
"Mengaitkan UMNO dan BN dengan segala kejahatan memang taktik Anwar
sedangkan beliau sendiri tidak berani membersihkan dirinya dengan
membuat sumpah laknat seperti yang dilakukan Perdana Menteri apabila
dituduh terlibat dengan isu Altantuya Shaariibuu," katanya.
/HWA: utusan.com.my | 20/4/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan