KUALA LUMPUR 18 April - Bekas Pesuruhjaya Pas
Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali menggesa pihak berkuasa tidak membiarkan
insiden beberapa ahli Parlimen pembangkang mempersenda pemimpin negara
dan raja-raja Melayu berlalu begitu sahaja tanpa tindakan sewajarnya.
Sambil menyifatkan tindakan itu sebagai keji dan tidak sepatutnya
dilakukan oleh mereka yang dipilih rakyat, beliau turut menyambut baik
cadangan untuk menubuhkan badan penyiasat bagi menyiasat insiden yang
mencacatkan istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara
baru-baru ini.
Cadangan tersebut, kata beliau, menggambarkan betapa serius perkara
itu walaupun di sudut pemerhatiannya, tindakan ahli Parlimen berkenaan
adalah sesuatu yang tidak memeranjatkan.
''Setakat yang saya kenal individu terlibat, mereka memang mempunyai
kecenderungan untuk melakukan perkara yang sukar diterima akal. Ini
mungkin hasil desakan parti yang mereka wakili dan beberapa golongan di
dalam parti masing-masing yang memandang remeh institusi raja.
''Saya tidak perlu menoleh ke belakang untuk memaparkan
insiden-insiden hitam yang pernah berlaku di Perak dan Selangor,''
katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ujar Hasan, selama ini di depan masyarakat Melayu, mereka berhujah
dan berbicara tentang kepentingan institusi raja dan ketaatan kepada
raja yang memerintah.
''Namun, jelas daripada insiden tersebut, ketaatan yang mereka
laungkan tidak lebih daripada satu pengucapan yang tidak mempunyai
banyak erti,'' katanya.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan kewajaran ahli Parlimen
pembangkang terbabit sehingga sanggup memperleceh, memperlekeh dan
menghina pimpinan tertinggi negara dan 'batang tubuh' raja-raja Melayu.
''Saya juga tertanya-tanya tentang darjah kesiuman pemimpin
pembangkang tersebut yang seolah-olah lupa siapa diri mereka, dalam
majlis apa mereka berada dan siapa yang memerhatikan mereka?
''Bagi saya pendek benar akal dan pemikiran ahli Parlimen yang terlibat. Insiden dilaporkan berlaku sebenarnya bukan insiden isolated, tetapi inilah brand budaya baru yang akan mereka terapkan,'' jelasnya.
Hasan turut melontarkan persoalan-persoalan berikut :
* Remehkah sesuatu yang berkait langsung dengan sistem pemerintahan negara?
* Remehkah insiden yang berlaku itu jika ditinjau dari sudut kelangsungan sistem Raja Berperlembagaan?
* Akhirnya remehkah insiden itu untuk dibiarkan berlalu begitu sahaja
sedangkan upacara itu adalah sebahagian daripada kebanggaan negara.
Justeru, beliau menggesa rakyat tidak memperjudikan masa depan negara
dengan memilih 'wajah-wajah' mereka yang bertindak menghina institusi
raja.
''Saya tidak dapat menggambarkan jika ditakdirkan mereka menguasai
Putrajaya. Bayangkan apa jenis budaya yang mereka akan 'cernakan' untuk
masyarakat terutama di pihak generasi pengganti?,'' soalnya.
Beliau kemudiannya memuji tindakan pegawai perubatan, Dr. Rahman Kadir yang telah menimbulkan perkara itu.
''Saya percaya atas kesedaran sivik yang tinggi, doktor perubatan
tersebut telah keluar daripada lingkungan perubatan untuk memaparkan
peristiwa hitam yang berlaku kerana bagi beliau ia bukan sesuatu yang
kecil dan remeh sebagaimana didakwa oleh mereka yang terlibat,''
katanya.
/HWA: utusan.com.my | 20/4/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan