KUALA LUMPUR 23 Mei - Seorang penulis Barat,
Jonathan Smith, mendedahkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim
adalah pemimpin tanpa wajah yang boleh berubah mengikut arus,
persekitaran serta rasa hati demi kepentingan peribadi.
Malah Smith yang juga seorang bekas perisik berkata, sikap tersebut
sudah diketahui badan perisikan antarabangsa seperti Agensi Perisikan
Pusat (CIA), agensi perisikan Rusia (KGB) dan agensi perisikan Britian
(MI-6) lebih awal sebelum Anwar dibawa menyertai UMNO.
Dalam bukunya bertajuk The ''I'' Files, Smith mengakui beliau
sudah lebih tiga dekad mengumpul maklumat mengenai Anwar untuk
disalurkan kepada 'ketuanya' dan mendakwa, buku berkenaan juga hasil
susunan maklumat perisik-perisik Barat yang lain.
"Ketua-ketua badan risikan CIA, MI-6, dan KGB mahu tahu dari mana
Anwar datang dan di mana kesetiaannya itu? Dengan UMNO, Pas atau Arab
Saudi? Anwar sebenarnya manusia tanpa wajah yang boleh menjadi sesiapa
sahaja mengikut arus, persekitaran dan hatinya.
"Pada satu masa, beliau seorang muslim fanatik yang mengimpikan
negara Islam ala Iran, berkiblatkan Arab Saudi, berfahaman wahabi dan
tiada tolak-ansur dalam menangani kemungkaran tetapi pada masa yang
lain, beliau pengikut tulen Tun Dr. Mahathir Mohamad.
"Anwar mengikut Dr. Mahathir dari segala segi kecuali satu, iaitu di
hati sanubarinya di mana Dr. Mahathir melihat Melayu memerlukan
perlindungan, Anwar melihat Melayu perlu 'kesempurnaan'," kata Smith
sebagaimana dipetik daripada prolog beliau dalam buku The ''I'' Files.
Buku tersebut boleh dibaca dalam talian di http://ifilesjs.wordpress.com dan setakat ini hanya prolog serta bab satu hingga empat sahaja yang dimuat naik kepada pembaca.
Sementara itu, beberapa laman blog tempatan seperti anwaraidc.com dan gerakan-anti-pkr.blogspot.com
turut menyiarkan pendedahan Smith dan menyifatkan buku berkenaan perlu
dibaca kerana menampilkan sudut yang belum pernah didengar mengenai
Anwar.
Menurut blog gerakan-anti-pkr, identiti sebenar Smith tidak
penting kerana yang jelas daripada maklumat yang didedahkan dalam buku
berkenaan, beliau ternyata mempunyai pengetahuan mendalam mengenai
politik serta pemikiran rakyat Malaysia.
"Apa yang pasti, Smith telah membuat kesimpulan siapa Anwar? Manusia
tanpa wajah, lama sebelum Malaysia atau pun Dr. Mahathir mengenali
beliau, Smith terlebih dahulu membaca kesilapan Dr. Mahathir selepas
ura-ura Anwar akan dibawa masuk ke dalam UMNO," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 24/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan