Buku yang diharamkan di Malaysia.
*****
KONTROVERSI buku Allah, Kebebasan dan Cinta sejak seminggu
lalu masih belum berakhir manakala Kementerian Dalam Negeri (KDN)
menyerahkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk
menelitinya setelah pelbagai pihak mendesak diharamkan atas alasan boleh
memesongkan akidah umat Islam.
Meskipun buku itu berjaya dilancarkan pada Sabtu lalu dan penulisnya
terus mengambil penerbangan ke New York pada malamnya, kehadiran Irshad
Manji bekas pelarian dari Uganda dan kini menetap di Kanada terus
dikecam atas dua faktor, iaitu keberaniannya membuat pilihan sebagai
seorang muslim lesbian dan kejanggalan pemikirannya yang mengajar
prinsip kebebasan, rasionaliti dengan keberanian merempuh sempadan moral
ataupun meruntuhkan sempadan kerasulan Nabi Muhammad SAW serta sunnah
baginda.
Kedatangannya di negara ini sudah pasti membawa kesan negatif
terhadap masyarakat. Ia akan menyemarakkan lagi perkembangan LGBT yang
menjadi beban berat kepada pihak berkuasa bagi meleraikan penyakit
sosial ini.
Irshad dikatakan memasuki Malaysia pada 13 Mei lalu, iaitu ketika
UMNO sedang meraikan ulang tahun ke-66 penubuhan dan pada 14 Mei 2012,
satu acara dijangka berlangsung di Universiti Islam Antarabangsa
Malaysia, tetapi terpaksa dibatalkan.
Pada Jumaat (18 Mei 2012) satu acara dirancang ketika umat Islam
menunaikan fardu Jumaat di Universiti Monash Kampus Sunway, bagi
mengelak dihadiri pemprotes, dan pada petangnya Irshad hadir di Kedai
Buku Borders, Mid Valley turut diarahkan batal oleh Jabatan Agama Islam
Selangor dan KDN.
Bagaimanapun, pada 19 Mei 2012, buku yang diterbitkan oleh ZI
Publications berjaya dilancarkan dalam majlis ringkas di Dewan
Perniagaan China Selangor dan Kuala Lumpur, yang dihadiri 70 orang
termasuk pewaris syarikat penerbitan itu, Ezra Zaid. Buku itu sudah
berada di pasaran beberapa hari sebelum dilancarkan.
Syarikat yang menerbitkan buku tersebut, sebelumnya pernah
menerbitkan buku-buku yang mempunyai aliran pemikiran liberal dan
pluralisme agama yang ditulis oleh orang Islam sendiri. Pada 2009,
menterjemahkan buku tulisan Ed Hussain ke dalam bahasa Melayu dengan
tajuk, Saya Seorang Pejuang manakala tahun lalu, menterjemahkan buku tulisan Reza Arsalan dan menerbitkannya dengan memakai tajuk Tiada Tuhan Melainkan Allah.
Buku Ed Hussain, seorang imigran dari Bangladesh yang kemudiannya
menetap di Timur London menceritakan tentang penglibatannya sebagai
aktivis Islam, termasuk Pertubuhan Hizbut Tahir. Dikutuknya organisasi
itu dengan cara yang amat disukai Barat, dan pergerakan Islam dilihat
sebagai zalim, melampau dan ganas. Buku itu laris di pasaran, kerana ia
berjaya melengkapkan sangkaan Barat terhadap Islam.
Zainuddin Sardar menilai buku itu tidak ubah seperti penulisan
perhubungan awam untuk Parti Buruh, kerana kemudiannya, setelah
meninggalkan Hizbut Tahir, Ed Hussain bekerja dengan parti pimpinan John
Major dan melanjutkan pendidikan ke peringkat doktor falsafah.
Buku Reza Arsalan, yang juga merupakan buku terlaris menurut rekod New York Times pada 2009, menggunakan perspektif sejarah yang digumuli oleh masyarakat Islam sebagai menilai tahap kesyumulan Islam.
Irshad, 43 tahun yang dilahirkan di Uganda dalam keluarga campuran -
ayahnya berasal dari Gujerat, India manakala ibu pula dari Mesir sejak
kecil lagi suka bertanya dengan soalan-soalan mencabar, termasuk
mempersoalkan kepentingan nabi-nabi dalam kehidupan masyarakat beragama.
Lantaran sikapnya, dia dibuang daripada sekolah agama. Pendidikan
agama hanya diteruskan secara tidak rasmi menerusi pembacaan dan
pertemuan dengan beberapa orang 'tutor' yang boleh berbahasa Arab.
Bagaimanapun, dari sudut pendidikan sekular, Irshad merupakan seorang
pelajar cemerlang dan dianugerahkan medal Governor-General oleh
Universiti British Columbia sebagai pelajar terbaik dalam bidang
kemanusiaan. Pengkhususan beliau ialah sejarah pemikiran, dan kerana
itulah beliau diterima tokoh pemikir yang berpengaruh untuk hidup dalam
kebebasan moral dan berintegriti, atas keyakinannya bahawa 'tidak lagi
perlu takut untuk mempersoalkan kelompok kita sendiri'.
Buku beliau sebelumnya The Trouble With Islam Today (2002) dan diterjemahkan ke bahasa Indonesia menggunakan tajuk, Beriman Tanpa Rasa Takut
(2008) diharamkan penjualannya di Malaysia, bagaimanapun, masih boleh
dibaca menerusi Internet. Dalam edisi terjemahan itu, Irshad menyerang
keputusan para ulama kerana pendekatan yang mereka ambil lebih banyak
bersifat mengongkong dan tidak menyuburkan faham kebebasan serta
rasionaliti.
Dalam buku pertama, Irshad menulis: ''Sebagai seorang pedagang buta
huruf, Muhammad bergantung pada pencatat untuk mencatat kata-kata yang
didengarnya dari Allah. Kadang-kadang Nabi sendiri mengalami penderitaan
luar biasa untuk menguraikan apa yang ia dengar. Itulah bagaimana
"ayat-ayat syaitan" - ayat-ayat yang memuja berhala - dilaporkan pernah
diterima oleh Muhammad dan dicatat sebagai ayat autentik untuk al-Quran.
Nabi kemudian mencoret ayat-ayat tersebut, menyalahkan tipu daya
syaitan sebagai penyebab kesalahan catatan itu. Namun, kenyataan bahawa
para filosof muslim selama berabad-abad telah mengisahkan cerita ini
sungguh telah memperlihatkan keraguan yang sudah lama ada terhadap
kesempurnaan al- Quran." (hal. 96-97).
Dalam buku kedua, Allah, Kebebasan dan Cinta, Irshad
melanjutkan pendapatnya dengan menyatakan: ''Dakwah Nabi membawa aib
kepada masyarakatnya ... Sebagai pembelot extraordinaire, Muhammad telah
menghancurkan reputasi sukunya sendiri, Quraisy… Merasakan keresahan
sebilangan kecil pengikutnya yang baru memeluk Islam dan penentangan
yang semakin memuncak: baginda "mencairkan" mesejnya… sebagai permulaan,
Muhammad melentur nama Tuhan, 'Rabb' yang dipakai pada awalnya diganti
dengan Allah iaitu yang dipakai oleh pagan Quraisy… Setelah terjadi
peristiwa "ayat-ayat syaitan". Nabi tersalah menilai beberapa ayat
sebagai wahyu Tuhan dan lalu menyampaikannya kepada sahabat baginda….
Muhammad kemudian menarik balik ayat-ayat itu, dan menyalahkan syaitan
atas kesalahan yang dilakukannya." (hal.121-122).
Cebisan petikan tersebut sudah jelas membuktikan Irshad sebenarnya
membawa semula doktrin Salman Rushdie pada 1988 menerusi novel
kontroversinya, Satanic Verses (Ayat- Ayat Syaitan).
Hal yang sama ingin dilakukan oleh Irshad apabila tidak yakin dengan
peribadi Nabi Muhammad sebagai pesuruh Allah dan menanggap apa yang
diteladani oleh baginda dipengaruhi oleh syaitan.
Bagaimanapun, disebabkan masih 'ada lagi sisa Islam dalam dirinya',
Irshad hanya boleh menerima al-Quran sebagai pedoman walaupun menyangkal
kepentingan hadis dan peranan ulama dalam memelihara kesyumulan Islam.
Irshad yang terkurung dalam kepompong ilmiah Barat, akan terus
membawa nada sinis dan mengkhianati Islam dan kerana itulah ke seluruh
dinding cermin apartmennya perlu dipasangkan kaca kalis peluru. Dan,
ketika buku Allah, Kebebasan dan Cinta dilancarkan di Belanda,
pekikan dan ancaman bunuh ditujukan, kerana beliau sebenarnya
melanjutkan neo-orientalisme dari dalam Islam sendiri.
Ia tidak lebih dari sebuah buku perhubungan awam yang bersifat
peribadi, dan asas untuk membenarkan dirinya sebagai seorang daripada
tiga wanita muslim yang berpengaruh, yang bakal mencetuskan pembaharuan
dalam masyarakat Islam. Tidak keterlaluan, Irshad sebenarnya sedang
menempa jalan kehancuran, atas pilihannya sendiri.
/hwa: utusan.com.my | 25/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan