Mohd. Sazali (kiri) dan Ibrahim
Thamby Chik menunjukkan gambar seorang penyokong UMNO, Mohd. Saifol
Bukhari yang tercedera ketika menghadiri ceramah di Pantai Permai, Kuala
Lumpur, semalam.
*****
KUALA LUMPUR 26 Mei - Pemuda UMNO Bahagian Lembah Pantai mendakwa
kata-kata penghinaan yang dikeluarkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri
Anwar Ibrahim ketika berceramah merupakan punca berlaku kekecohan di
pekarangan Pangsapuri Pantai Permai, malam semalam.
Ketuanya, Datuk Mohamad Sazali Kamilan berkata, Penasihat
Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dikatakan sengaja mencetuskan provokasi
dengan melemparkan kata-kata nista supaya mereka yang menghadiri ceramah
ahli perniagaan, Ummi Hafilda Ali bertindak balas.
Beliau berkata, sungguhpun begitu, pihaknya tidak segera bertindak
sehinggalah tiba-tiba berlaku tindakan membaling beberapa objek keras
oleh pihak yang tidak dapat dipastikan.
"Akibatnya seorang ahli Pemuda UMNO cedera di kepala. Saya tidak mahu
menuduh siapa yang memulakan kekecohan ini dan siapa yang membaling.
Mustahil orang UMNO baling kepada orang UMNO sendiri.
"Ketika itu mangsa sedang duduk mendengar ceramah (Ummi Hafilda).
Mangsa kemudian dikejarkan ke klinik berhampiran oleh jawatankuasa
penganjur dan dimaklumkan mangsa menerima enam jahitan," katanya di
Rumah Barisan Nasional (BN) di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Penerangan UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Ibrahim Thamby Chik.
Beliau mengulas kekecohan ketika berlangsungnya sesi ceramah Anwar
dan Ummi Hafilda yang diadakan bersebelahan di pekarangan pangsapuri
berkenaan.
Akibatnya, dua lelaki yang hadir untuk mendengar sesi ceramah iaitu
masing-masing seorang penyokong pembangkang dan seorang lagi penyokong
kerajaan cedera di kepala selepas terkena balingan batu daripada
kedua-dua belah pihak.
Ceramah Anwar dianjurkan oleh PKR Lembah Pantai manakala ceramah Ummi Hafilda dianjurkan oleh Majlis Permuafakatan Muslim.
Mohamad Sazali berkata, selain menghina, Anwar terus melakukan
provokasi melalui maki-hamun sehingga keluar perkataan 'Pemuda UMNO
sial' dan 'Pemuda UMNO celaka'.
Sementara itu, Di PUTRAJAYA, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar
yang ditemui ketika menghadiri pertandingan pasukan sorak sempena
sambutan Hari Belia Negara hari ini berkata beliau memandang serius
tuduhan tersebut.
Katanya, tuduhan sedang disiasat kerana tidak mudah mengenalpasti individu yang memulakan kekecohan kerana adanya provokasi.
/hwa: utusan.com.my | 27/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan