KUALA LUMPUR 26 Mei - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang jelas
seorang yang pengecut apabila tidak berani menyanggah hasrat Pengerusi
DAP, Karpal Singh yang mahu memastikan bukan Melayu menjadi Perdana
Menteri jika pakatan pembangkang berkuasa.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim
Ali berkata, Abdul Hadi hanya berani berhadapan dengan UMNO dan sesama
orang Melayu tetapi bukan dengan DAP dalam mempertahankan pendirian Pas.
"Sikap penakut Abdul Hadi ini amat memalukan dan tidak ada maruah," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Abdul Hadi yang enggan menyanggah hasrat
Karpal itu selain menganggap ia hanya pandangan peribadi pemimpin DAP
itu.
Ibrahim berkata, sikap Abdul Hadi itu jelas hanya untuk mencapai
kepentingan politiknya kerana sudah terbukti sebelum ini, pemimpin Pas
itu sanggup dipergunakan oleh DAP ekoran pendirian tidak tetap beliau
dalam isu lain.
Katanya, ia termasuk pendirian Abdul Hadi yang sering berubah-ubah
apabila Karpal bersuara mengenai ketegasan DAP bermati-matian menolak
cadangan Pas iaitu mahu mewujudkan negara Islam sebelum ini.
Beliau berkata, pendirian tidak tetap Abdul Hadi itu wajar dipersoalkan oleh ahli Pas dan orang Melayu.
"Jika beliau sendiri boleh duduk bersama orang yang mempertikaikan
cadangan mewujudkan negara Islam, malah mahu bukan Melayu sendiri jadi
Perdana Menteri, bagaimana orang Melayu dan umat Islam di negara ini
boleh percaya kepada Abdul Hadi?
"Kalau Islam dan hak Melayu pun dia tidak boleh bela, adakah wajar kita percaya kepadanya lagi?" katanya.
/hwa: utusan.com.my | 27/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan