KOTA BHARU 23 Mei - Pendirian sebenar Pas dalam
isu muzakarah yang dituntut Islam demi perpaduan ummah semakin bercelaru
apabila Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bertegas mahu
mengadakan muzakarah dengan UMNO.
Sebelum ini, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan menolak untuk bermuzakarah dengan UMNO.
Nik Abdul Aziz sebaliknya berkata, ia terpulang kepada Abdul Hadi
sekiranya tidak bersetuju dengan pendirian beliau yang mahu bermuzakarah
antara kedua-dua parti.
Menteri Besar Kelantan itu turut bertegas bahawa beberapa syarat yang
beliau tetapkan untuk mengadakan muzakarah itu perlu dipatuhi UMNO.
"Saya tidak kira orang lain, yang saya nak muzakarah dengan UMNO.
Saya ulang balik, mahu tanya kenapa UMNO buang Islam itu sahaja.
"Apa saya sebut ini adalah pendirian saya. Saya nak muzakarah dengan
UMNO kenapa tolak Islam, tapi muzakarah ini keluar daripada presiden,
kalau dia tidak setuju kepada saya tidak apa, yang penting muzakarah,"
katanya ketika ditemui selepas merasmikan pembukaan Pasar Kota Jembal di
sini hari ini.
Abdul Hadi baru-baru ini dilaporkan membayangkan bahawa perlu ada
muzakarah demi kepentingan umat Islam di negara ini, namun beberapa hari
kemudian menegaskan bahawa ia bukan membabitkan Pas dengan UMNO,
sebaliknya hanya bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Sebelum ini, pelbagai pihak mempersoalkan keikhlasan Nik Abdul Aziz
apabila meletakkan beberapa syarat untuk parti itu bermuzakarah dengan
UMNO.
Tiga syarat yang beliau tetapkan adalah UMNO perlu menerima rakan
pakatan Pas iaitu DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), UMNO menukar
dasar kebangsaan kepada dasar Islam secara rasmi dan mencadangkan
muzakarah diadakan sebelum pilihan raya umum.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin
dalam reaksinya semalam berkata, UMNO boleh mengadakan muzakarah dengan
NGO Melayu dan Islam jika Pas belum bersedia untuk berbuat demikian.
Dalam pada itu, Nik Abdul Aziz ketika ditanya wartawan tidakkah
beliau terfikir untuk melonggarkan syarat demi memastikan muzakarah itu
dapat dijalankan menegaskan, semua perkara di dunia ini mempunyai
syaratnya.
"Mana boleh tiada syarat, budak kecil umur tiga tahun mahu masuk
tadika ada syarat dia, begitu juga kita nak kahwin dengan orang kena ada
syarat.
"Mana boleh muzakarah yang melibatkan seluruh negara tidak ada
syarat. Pas sedia bermuzakarah pada bila-bila masa, Islam ini kerja dia
muzakarah, ada perbincangan," tegasnya.
/hwa: utusan.com.my | 24/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan