UMMI Hafilda Ali menunjukkan muka hadapan akhbar Utusan Malaysia
 bertarikh 29 Oktober 1999 yang memaparkan Anwar Ibrahim mengawal selia 
akaun RM3 bilion semasa sidang media khas berhubung pembabitan Azmin Ali
 berkaitan pemilikan aset di Damansara, Petaling Jaya, semalam. Gambar 
kecil salinan slip bank tertera nama Azmin Ali bagi urusan kewangan di 
sebuah bank pada 1992. 
***** 
 KUALA LUMPUR 30 Mei - Ahli Perniagaan, Ummi 
Hafilda Ali buat pertama kali mendedahkan salinan dokumen sebahagian 
aset yang dimiliki oleh Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Azmin 
Ali serta isterinya, Shamsidar Taharin yang bernilai lebih RM3O juta.
Dokumen berkenaan iaitu salinan pembelian syer saham, deposit bank, 
resit pembayaran perabot serta salinan penyata dalam beberapa akaun bank
 itu merupakan sebahagian harta yang dimiliki Azmin dan Shamsidar dalam 
tempoh dua tahun iaitu 1992 hingga 1994.
Ummi Hafilda memberi tempoh dua minggu kepada Azmin dan Shamsidar 
untuk membuat laporan polis terhadapnya jika dokumen itu palsu atau 
beliau sendiri akan menyerahkan dokumen tersebut kepada polis selepas 
tempoh tersebut.
Kata Ummi Hafilda, beliau juga meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 
Malaysia (SPRM) untuk memandang serius kes tersebut kerana aset itu 
diperoleh Azmin dan Shamsidar semasa Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi 
Menteri Kewangan.
Menurutnya, kekayaan tersebut adalah mustahil diperoleh oleh pasangan
 suami isteri tersebut kerana gaji Azmin sebagai setiausaha sulit Anwar 
adalah sekitar RM3,000 manakala Shamsidar hanya suri rumah.
''Kalau tengok setiap saham yang dibeli adalah ratusan ribu dan kalau
 dijumlah nilai saham syer berdasarkan dokumen di tangan saya, 
kesemuanya hampir RM30 juta.
''Selain itu dokumen berkenaan turut membuktikan 90 peratus daripada 
pegangan saham tersebut adalah atas nama Shamsidar manakala 10 peratus 
sahaja nama Azmin,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Ini merupakan pendedahan kedua melibatkan dakwaan Azmin dan Shamsidar memiliki kekayaan luar biasa.
Semalam, pengendali portal pro pembangkang, Raja Petra Kamaruddin 
turut berbuat demikian dengan mendedahkan bukti pemilikan saham oleh 
Shamsidar bernilai lebih RM7 juta.
Beliau juga mendedahkan, aset Azmin dan Shamsidar yang berjumlah 
jutaan ringgit merangkumi rumah banglo, kereta mewah dan pemilikan 
saham.
Sementara itu, Ummi Hafilda turut mendakwa memiliki beberapa salinan 
asal resit deposit bank yang mana salah satunya berjumlah RM500,000.
Beliau juga mendakwa memiliki salinan penyata bank yang menunjukkan 
Shamsidar mempunyai simpanan sebanyak RM8 juta manakala Azmin memiliki 
lebih RM800,000 sekitar tahun 1994.
Selain itu, Ummi Hafilda turut mendakwa Azmin dan Shamsidar 
berbelanja mewah untuk membeli perabot dan tilam berjenama yang bernilai
 puluhan ribu ringgit.
''Saya beri tempoh kepada Azmin membuat laporan polis fitnah jenayah 
ke atas saya kalau semua ini palsu, semua ini propaganda dan semua ini 
politik kotor UMNO,
'''Tetapi kalau selepas 14 hari masih tiada tindakan itu, saya akan 
membuat laporan kepada pihak polis komersial di Bukit Aman atas segala 
penyalah gunaan kuasa dan penyelewengan yang berlaku,'' katanya.
/hwa: utusan.com.my | 31/5/12 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan