SHAH ALAM 22 Jun - Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin
mengaku menghantar surat agar sebuah firma guaman yang mempunyai
hubungan keluarga dengannya ‘dipertimbangkan’ menjadi panel peguam di
syarikat Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).
Bagaimanapun beliau mendakwa, surat itu dihantar bersama beberapa
surat firma guaman lain yang turut berminat menjadi panel guaman di PNSB
dan syarikat milik kerajaan negeri lain.
“Kesemua surat permohonan daripada firma guaman itu dihantar kepada
pejabat Menteri Besar dan saya telah hantar surat kepada PNSB untuk
memanjangkan permohonan tersebut termasuklah surat daripada firma guaman
anak saudara saya.
“Itu adalah amalan biasa apabila ada syarikat yang menghantar
permohonan kepada Menteri Besar untuk mendapat peluang perniagaan di
syarikat milik kerajaan negeri dan kita panjangkan kepada syarikat
tersebut," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan Utusan Malaysia hari
ini mengenai serangan yang dibuat terhadapnya oleh pihak yang bertelagah
dengan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Berdasarkan blog sel13.com semalam, Faekah yang selama ini dilihat
sentiasa membayangi Abdul Khalid didakwa terlibat menggunakan
kedudukannya untuk mempengaruhi sebuah syarikat milik kerajaan negeri
bagi memberi peluang perniagaan kepada sebuah firma guaman yang
dikatakan ada hubungan keluarga dengannya.
Blog tersebut turut menyertakan dua salinan surat iaitu yang pertama
didakwa dihantar firma guaman tersebut kepada Faekah dan yang kedua
didakwa merupakan surat Faekah sendiri kepada syarikat milik kerajaan
negeri tersebut.
Dalam pada itu, Faekah menolak dakwaan beliau menggunakan pengaruhnya
agar firma guaman berkenaan mendapat peluang perniagaan di PNSB.
Katanya, ini kerana selepas menghantar surat tersebut pihaknya
menyerahkan sepenuhnya kepada PNSB untuk membuat penilaian dan
keputusan.
“Selepas hantar surat itu saya tidak membuat sebarang susulan kerana
kalau mahu saya boleh menghubungi syarikat tersebut atau Ketua Pegawai
Eksekutifnya, Datuk Ahmad Omar untuk minta tolong.
“Saya tidak buat begitu dan jika firma guaman itu menjadi panel di PNSB pun, bukan kerana saya," katanya.
Tambah Faekah, walau apa pun tafsiran yang dibuat beliau tidak
merasakan tindakannya menghantar surat kepada PNSB itu adalah salah.
“Saya bersedia untuk disiasat dan saya juga cadangkan supaya maklumat
yang tepat diperoleh daripada PNSB mengenai isu yang berbangkit
termasuk adakah firma anak saudara saya itu mendapat sebarang perniagaan
daripada PNSB setakat ini," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 23/6/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan