TAIPING 17 Jun - Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Gelombang Biru
yang semakin bertebaran di seluruh Perak adalah manifestasi sokongan
rakyat negeri ini terhadap Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Timbalan Perdana Menteri berkata, kehadiran lebih 70,000 pengunjung
berbilang kaum pada majlis pelancaran Janji Ditepati peringkat negeri
Perak hari ini adalah antara petanda jelas bahawa rakyat negeri ini akan
memilih BN dalam pilihan raya umum akan datang.
''Gelombang-gelombang biru telah meningkat, inilah manifestasi
sokongan rakyat. Apabila pilihan raya sampai, orang Perak tiada pilihan
lain selain menyokong BN untuk kita laksanakan agenda menepati janji,"
katanya ketika berucap melancarkan program tersebut di Pusat Latihan
Teknologi Tinggi (ADTEC) Kamunting di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Menteri
Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Kewangan Kedua,
Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah; Pengerusi Media Prima, Datuk Johan
Jaaffar serta barisan kepimpinan kerajaan negeri.
Muhyiddin berkata, seperti di negeri-negeri lain, rakyat Perak
memberi sokongan yang cukup besar kepada program berkenaan sekali gus
mencerminkan keyakinan mereka terhadap kesungguhan Perdana Menteri dalam
menunaikan janji-janji kerajaan kepada rakyat.
''Kehadiran saudara dan saudari juga menunjukkan betapa anda berasa
dekat dengan kepimpinan kerajaan pada hari ini untuk membantu rakyat
melayari bahtera hidup dalam keadaan yang lebih baik, lebih bahagia dan
harmoni pada masa akan datang," katanya.
Beliau berkata, sepanjang 55 tahun menerajui tampuk pentadbiran
negara, BN berjaya melunaskan janji-janjinya untuk membawa pelbagai
perubahan sehingga menjadikan Malaysia yang satu ketika dahulu hanya
sebuah negara pertanian, kini muncul negara membangun yang dicontohi
dunia.
''Walaupun kita mempunyai kepelbagaian kaum dan resam agama yang
berbeza-beza, namun atas dasar kerajaan, rakyat boleh hidup bersatu
serta bekerjasama. Kita berjanji akan mengekalkan hubungan baik ini.
''Soal perpaduan tidak boleh dianggap sebagai perkara lumrah
sebaliknya memerlukan keazaman, permuafakatan serta kerjasama bagi
mengelakkan berlakunya krisis antara kaum," ujar beliau.
Sempena pelancaran program itu, Timbalan Perdana Menteri turut melancarkan Gerakan 1Malaysia Utamakan Keluarga (1Malaysia Family First- 1MFF) sempena sambutan Hari Bapa peringkat kebangsaan 2012 bertemakan Bapa Prihatin, Keluarga Terpimpin.
Gerakan 1MFF yang dikelola Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga
dan Masyarakat melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara
(LPPKN), bertujuan meletakkan perspektif keluarga dalam segala
perancangan serta pembangunan sosioekonomi negara.
Muhyiddin turut menyempurnakan pemberian baucar saringan kesihatan
LPPKN bernilai RM266,000 termasuk golongan bapa tunggal selain bantuan
Kebajikan Rakyat 1Malaysia (Karisma) kepada 10 penerima dan sembilan
lagi untuk bantuan program 1Azam.
/hwa: utusan.com.my | 18/6/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan