Universiti Oxford mengiktiraf konsep
Waqaf Korporat yang disediakan oleh Waqaf An Nur Corporation seperti
khidmat perubatan di klinik wakaf an nur. - Gambar hiasan
*****
Waqaf Korporat semakin mendapat perhatian
masyarakat. Baru-baru ini Pengerusi Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF)
Tun Musa Hitam mengumumkan satu Persidangan WIEF akan diadakan di Johor
Bahru pada Disember 2012.
Beliau menyatakan persidangan tersebut akan turut memberi tumpuan
kepada wakaf sebagai institusi yang boleh meningkatkan ekonomi umat
Islam selain daripada perbankan dan kewangan Islam yang telah diterima
pakai di seluruh dunia, terutama atas inisiatif Malaysia.
Bangsa Melayu dan umat Islam selama ini menyedari pentingnya wakaf
sebagai satu amal ibadah yang turut membawa impak besar, terutama dalam
membela nasib golongan miskin. Menerusi wakaf orang yang berada dan
berharta dapat meningkatkan amal ibadah dengan mengorbankan sebahagian
harta kekayaan untuk disumbang kepada kebajikan golongan yang
memerlukan.
Amalan berwakaf mendapat sambutan di kalangan masyarakat, antara lain
untuk menepati Hadis Rasulullah SAW yang menyatakan setelah mati anak
Adam, tidak ada yang boleh menolongnya melainkan tiga perkara: iaitu
ilmu yang dimanfaatkan, doa anak yang soleh dan sedakah jariah yang
membawa manfaat berterusan, termasuk wakaf.
Kini masyarakat diperkenalkan pula kepada institusi Wakaf Korporat,
iaitu satu inovasi besar kepada wakaf bertujuan memperbaharui peranan
bisnes dan organisasi korporat. Matlamat akhir Waqaf Korporat, selain
membolehkan badan korporat berjaya menghimpun harta kekayaan mengikut
kaedah bisnes sama seperti badan korporat lain, Waqaf Korporat yang
dimiliki umat Islam juga dapat digunakan untuk merapatkan jurang
kaya-miskin yang semakin melebar, bukan sahaja di Malaysia malahan di
seluruh dunia. Jurang ekonomi dan sosial adalah antara punca utama
berlakunya konflik di dunia hari ini, khasnya di kalangan umat dan
negara Islam.
Waqaf Korporat juga satu kaedah membasmi kelemahan sistem ekonomi
kapitalis Barat yang mengakibatkan ketidakadilan melampau dalam agihan
harta kekayaan dan sumber ekonomi. Selain itu, Waqaf Korporat
berkewajipan menjayakan program fi sabilillah dan program
kebajikan. Pengalaman Waqaf Korporat di Malaysia membuktikan amalan ini
berupaya melakukan semua itu, bukan sahaja untuk manfaat umat Islam,
malah untuk semua warganegara pelbagai bangsa dan agama.
Contoh terbaik Waqaf Korporat di Malaysia ialah Waqaf An Nur
Corporation Bhd (WANCorp) yang ditubuhkan oleh Johor Corporation
(JCorp). Pada Ogos 2006 JCorp mewakafkan sebahagian saham PLC miliknya
bernilai RM200 juta kepada WANCorp.
Pada akhir 2011, nilai keseluruhan aset wakaf milik WANCorp meningkat
kepada RM538.5 juta. Bayangkan jika terdapat sepuluh organisasi Waqaf
Korporat seumpama WANCorp di seluruh negara - saya yakin masalah
kemerosotan dan kelemahan ekonomi Melayu serta masalah ketidakadilan
sosial, insya-Allah dapat kita atasi bersama!
WANCorp juga sangat aktif mengendalikan program amal kebajikan.
Rangkaian Klinik Waqaf An Nur terkenal dengan program kebajikan yang
mengenakan bayaran hanya RM5 untuk khidmat doktor serta ubat-ubatan.
Seramai lebih 800,000 pesakit telah mendapat manfaat daripada program
anjuran wakaf daripada rangkaian 17 klinik di seluruh negara sejauh ini.
Paling menarik perhatian, sekalipun klinik wakaf ini ditempatkan di
masjid-masjid, lebih 50,000 pesakit miskin bukan Muslim turut
mengunjunginya untuk mendapatkan rawatan perubatan murah.
Antara projek kebajikan lain yang membawa impak besar ialah Waqaf
Dana Niaga untuk membantu masyarakat berpendapatan rendah mendapat
peluang niaga kecil-kecilan dengan pinjaman modal tanpa faedah qardul
hasan. Sejauh ini ramai usahawan baharu telah dilahirkan termasuk suri
rumah dan ibu tunggal, sekali gus mengurangkan masalah sosial dan
tekanan hidup masyarakat khasnya di bandar-bandar.
Pengalaman WANCorp dan manfaat yang dibawanya jelas membuktikan
kehebatan Waqaf Korporat dan potensi jangka panjangnya dalam pembangunan
ekonomi negara, khasnya dalam meningkatkan tahap pencapaian ekonomi
bangsa Melayu dan merapatkan jurang ekonomi antara kaum.
Kini kehebatan WANCorp dan potensi besar konsep Waqaf Korporat turut
mendapat perhatian dan pengiktirafan antarabangsa, khasnya Universiti
Oxford di Britain.
Dalam satu kajian melalui Said Business School yang diterbitkan pada
Disember 2010, Universiti Oxford mengiktiraf Malaysia sebagai antara
negara Islam terulung dalam memperkenal pembaharuan institusi ekonomi
Islam, khasnya dalam bidang kewangan dan perbankan Islam. Universiti
Oxford berpendapat, kini Malaysia sekali lagi mendahului dengan
inisiatif terbaharu, melalui usaha gigihnya memperkenalkan institusi
Waqaf Korporat.
Dalam penerbitan bertajuk "Satu kajian ke atas Strategi Korporat Waqaf Johor Corporation di Malaysia" (A Study on Johor Corporation's Corporate Waqf Strategy in Malaysia)
Universiti Oxford dengan tegas menyatakan: "… Malaysia telah
membuktikan ia adalah pengibar bendera dalam kewangan Islam dan
pembangunan serta perundangan model bisnes Islam… Didapati Waqaf
Korporat adalah satu kaedah inovasi memodenkan dan menggunakan konsep
wakaf tradisional untuk mencapai matlamat bisnes dan korporat."
Kajian ini menambah: "… kajian kes (Waqaf Korporat) JCorp mendapati
Jihad Bisnes, Waqaf Korporat dan (pembangunan) usahawan sangat berkesan
dan jauh melebihi apa yang mungkin boleh dicapai dengan menggunakan
kaedah pembangunan ekonomi konvensional dan pendekatan pacuan dasar
biasa (known policy-driven methods)."
Universiti Oxford bukan sahaja mengiktiraf keberkesanan Waqaf
Korporat dalam mengembangkan keupayaan bisnes umat Islam malah setelah
mengkaji program fi sabilillah dan kebajikan WANCorp, universiti
ini berpendapat Waqaf Korporat juga sangat berkesan dalam menyampaikan
manfaat kepada masyarakat yang memerlukan pembelaan menerusi program
tanggungjawab sosial korporat.
Kajian Universiti Oxford menyimpulkan: "… apabila dibandingkan dengan
seluruh amalan industri di Malaysia, didapati (Waqaf Korporat)
berprestasi lebih baik dalam membawa impak daripada aktiviti yang
dijayakan oleh badan korporat yang setaraf dengannya, khasnya berkaitan
tanggungjawab sosial dan derma kebajikan korporat (corporate philanthropy)."
Kesimpulannya, tiba masanya Waqaf Korporat dijadikan institusi utama
dalam strategi pembangunan ekonomi Malaysia dan semua negara Islam.
Pembaharuan strategi ini sangat kritikal dalam usaha negara Islam
memperbaiki kehidupan masyarakat masing-masing. Tanpa pembaharuan kita
akan terus menjadi negara yang dihantui ketidakadilan dan kezaliman
ekonomi.
Kita juga mudah dijangkiti kerosakan sosial dan konflik politik
akibat menciplak kapitalisme Barat seperti yang nyata kelihatan berlaku
di Barat setelah dirosakkan sistem kapitalis liar, buas dan rakus.
Sokongan dan pengiktirafan Universiti Oxford terhadap pembaharuan
institusi wakaf menerusi Waqaf Korporat memberi umat Islam Malaysia satu
peluang luar biasa. Menerusi Waqaf Korporat kita dapat menambah kepada
impak yang telah dibawa oleh kewangan dan perbankan Islam untuk
menegakkan keadilan dan mengislamkan kehidupan ekonomi umat.
Kejayaan Waqaf Korporat akan sekali lagi membuktikan sesungguhnya
Malaysia mampu meneruskan inovasi ekonomi Islam untuk manfaat dan
kebaikan umat Islam khasnya dan seluruh umat manusia amnya.
/hwa: utusan.com.my | 18/6/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan