SHAH ALAM 21 Jun - Krisis dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR) di
Selangor yang mula panas sejak pertengahan bulan ini bagaikan sampai
kemuncaknya.
Ini apabila Pengarah Strategik PKR Pusat, Rafizi Ramli mengumumkan
peletakan jawatannya sebagai Ketua Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi
Negeri Selangor seperti yang ditulis dalam laman sosial, Twitternya hari
ini.
Walaupun memberi alasan langkah itu bertujuan untuk berehat namun
blog-blog mengaitkan ia secara tidak langsung sebagai reaksi protes
terhadap pentadbiran Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang
telah lama berkrisis dengan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.
Tindakan Rafizi terjadi hanya dua hari selepas Abdul Khalid
mengeluarkan kenyataan mempertahankan Faekah yang dikatakan menghadapi
tekanan meletakkan jawatan daripada penyokong Azmin.
Melalui laman Twitternya, Rafizi menyatakan, beliau telah menghantar
notis peletakan jawatan tersebut dan menyerahkan sebarang pertanyaan
mengenai ekonomi negeri dan lain-lain kepada kerajaan negeri.
“Letak jawatan proses biasa. Perlu sedikit rehat, letih buat dua
kerja di kerajaan negeri dan parti. Ramadan dah dekat, tumpu ibadah,"
katanya ketika menjelaskan mengapa beliau melepaskan jawatan secara
mengejut.
Dalam pada itu, Rafizi yang dilihat antara penyokong kuat Azmin cuba
menafikan tindakan drastik beliau tersebut mempunyai kaitan dengan
krisis dalaman yang sedang melanda PKR Selangor.
Alasan Rafizi, beliau tidak pernah kekal lebih daripada dua tahun
dalam satu-satu jawatan yang disandangnya dan ia tiada kaitan langsung
dengan dimensi politik di Selangor.
Pada 2010, Azmin juga membuat keputusan serupa apabila meletakkan
jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri
Selangor (PKNS) dipercayai sebagai protes terhadap pelantikan Faekah.
Ketika itu, tindakan tersebut dilihat sebagai protes terhadap
pelantikan Faekah sebagai Setiausaha Politik Menteri Besar menggantikan
Nik Nazmi Nik Ahmad iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia yang
dikatakan menyebelahi kem Azmin.
Kelmarin, Abdul Khalid dalam cubaan mempertahan orang kanannya itu
menyifatkan Faekah telah melakukan kerja dengan baik dan komited sekali
gus, menepis dakwaan kononnya setiausaha politiknya itu cuba mengawal
menteri besar.
Sejak dilantik sebagai Setiausaha Politik Menteri Besar, hasil
sokongan Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pada 2010,
Faekah menjadi sasaran tuduhan bahawa beliau terlalu berkuasa dan
mempunyai pengaruh luar biasa di atas keputusan-keputusan kerajaan
negeri.
Beliau didakwa penghalang kepada program-program yang ingin
dilaksanakan oleh parti di Selangor sehingga wakil rakyat PKR bimbang ia
menjejaskan peluang parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.
Difahamkan, usaha kepimpinan PKR untuk menasihatkan agar Abdul Khalid
membataskan tindakan Faekah daripada campur tangan urusan parti tidak
berjaya.
Abdul Khalid turut melantik Faekah menyertai sebuah jawatankuasa mengendalikan geran RM300 juta untuk program Selangorku.
Faekah sebelum ini dikatakan menjadi sasaran beberapa pemimpin PKR negeri yang tidak berpuas hati dengan beliau.
Termasuklah desakan yang pernah dibuat oleh Azmin supaya Faekah
dipecat, manakala Ahli Parlimen Ampang, Zuraidah Kamaruddin pernah
menyifatkan Setiausaha Politik Menteri Besar itu sebagai ‘celupar’ dan
tidak mengenang budi mempersoalkan tentang kewibawaan Azmin yang
dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya PKR.
/hwa: utusan.com.my | 22/6/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan