KUALA LUMPUR 22 Jun - Kewujudan kem Menteri Besar, Tan Sri Abdul
Khalid Ibrahim dan kem Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor,
Azmin Ali membuktikan parti tersebut kini berdepan dengan masalah
perpecahan yang serius.
Malah keretakan dalaman PKR Selangor juga semakin kronik sehingga
memaksa Rafizi Ramli meletak jawatan secara mengejut selaku Ketua
Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi negeri.
Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, perbalahan antara
kedua-dua kem tersebut semakin serius dan wajar menjadi ingatan kepada
rakyat Selangor agar membuat pilihan tepat dalam memilih sesebuah
kerajaan.
"Saya percaya rakyat dan orang ramai boleh membuat pertimbangan
berdasarkan apa yang berlaku sebab yang penting dalam menentukan
sesebuah kerajaan, bukan sahaja soal kelangsungan pentadbiran tetapi
parti yang dipilih juga mesti stabil dan kukuh.
"Apa yang jelas mutakhir ini perpecahan dalam PKR Selangor begitu
serius, kalau tidak takkan ada orang (Rafizi) letak jawatan secara
tiba-tiba," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusi Mesyuarat
Majlis Tertinggi UMNO di sini hari ini.
Ditanya apakah kemelut tersebut bakal menguntungkan UMNO dan
memudahkan Barisan Nasional (BN) merampas semula Selangor, Najib yang
juga Pengerusi BN negeri berkata, usaha untuk menawan negeri terkaya di
Malaysia itu dibuat berdasarkan kerja keras dan kekuatan sendiri.
Dalam pada itu, mengenai kesediaan Menteri di Jabatan Perdana
Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz untuk menjadi orang tengah bagi
mencadang kepada kerajaan agar pilihan raya umum dibuat hanya selepas
lima tahun, Perdana Menteri berkata, semua pihak bebas menyuarakan
pandangan.
Menurut beliau, tidak ada apa-apa peruntukan yang menyekat kerajaan
pemerintah daripada melaksanakan pilihan raya umum lebih awal atau hanya
berbuat demikian apabila sampai tempoh lima tahun.
"Terpulang kepada pertimbangan dan mengikut Perlembagaan yang menjadi
acuan sistem kita. Perlembagaan negara membenarkan Perdana Menteri
untuk menasihat Yang di-Pertuan Agong untuk membubar Parlimen mengikut
budi bicara selagi tempoh itu tidak melebihi lima tahun," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 23/6/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan