25 Jun 2012

Rafizi dicabar dedah penyelewengan

BATU PAHAT 22 Jun - Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi mencabar Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli supaya mendedahkan penyelewengan yang berlaku di Selangor jika dia benar-benar ahli politik bermaruah.
Ia berikutan tindakan Rafizi meletakkan jawatannya sebagai Ketua Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Negeri Selangor semalam.
Mohd. Puad berkata, walaupun Rafizi cuba menafikan ia akibat krisis dalaman PKR tetapi hakikatnya pemimpin itu tidak berpuas hati dengan kewujudan 'warlord' dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor.
Menurutnya, pemimpin itu juga tidak berpuas hati dengan Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin yang dikatakan mempunyai pengaruh luar biasa atas keputusan kerajaan negeri termasuk dalam pengendalian geran RM300 juta untuk program Selangorku.
"Kalau Rafizi sanggup membuat pelbagai tuduhan kononnya mendedahkan isu seperti fidlot dan sebagainya atas dasar menegakkan kebenaran dan menentang penyelewengan, maka tidak cukup hanya meletak jawatan dalam isu ini.
"Saya yakin dia mempunyai cukup maklumat. Dia kena dedahkan penyelewengan kalau mahu menjadi ahli politik yang bermaruah dan jika tidak, apa yang dia cakap selama ini adalah pembohongan sahaja," katanya kepada pemberita selepas merasmikan projek Bangunan Rumah Burung Walet Parlimen Batu Pahat, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini yang melaporkan Rafizi menerusi laman sosial Twitternya mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ketua Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Negeri Selangor semalam, sekali gus menunjukkan berlaku pergolakan dalam PKR Selangor.
Bagaimanapun, Rafizi cuba menafikan tindakannya itu ada kaitan dengan krisis dalaman PKR Selangor sebaliknya menjelaskan mahu berehat dan letih membuat dua kerja iaitu untuk kerajaan negeri dan parti selain mahu memberi tumpuan beribadah menjelang Ramadan.
Mohd. Puad yang juga Timbalan Menteri Pelajaran berkata, pergolakan dalaman PKR Selangor menunjukkan kelemahan pentadbiran Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan membuktikan kerajaan negeri itu lebih mementingkan politik 'warlord'.
Menurutnya, krisis terbaru di Selangor dan pergolakan dalaman parti pembangkang yang mentadbir negeri dikuasai mereka itu menunjukkan ada hikmah di sebalik tsunami politik pada Pilihan Raya Umum Ke-12.
Jelasnya, rakyat dapat melihat dan membuat perbandingan antara kepincangan yang berlaku di negeri dikuasai pembangkang dengan kejayaan Barisan Nasional (BN) melakukan transformasi di negeri yang ditadbir parti itu.
/hwa: utusan.com.my | 23/6/12

Tiada ulasan: