KOTA BHARU 22 Jun - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik
Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan ilmu yang dimiliki bekas Timbalan
Syeikhul Universiti Al-Azhar, Mesir, Syeikh Mahmoud Abdel Ghany Mahmoud
Ashour dengan ulama Melayu seperti beliau adalah sama.
Beliau berkata, ini disebabkan kebanyakan ulama di negara ini menuntut ilmu yang sama di universiti tertua di dunia itu.
"Saya nak sebut, kami semua ini adalah pelajar Al-Azhar, Utusan Malaysia kena reti, bahawa dia nak melaga, antara tok guru (ulama Al-Azhar) dengan kami (anak murid). Dia (Utusan Malaysia) kena reti juga Syeikhul Azhar ilmunya, al-Quran dan hadis. Kami juga ada ilmu al-Quran dan hadis.
"Jangan buat perangai, nak melaga antara murid dan tok guru, kami
juga anak murid Al-Azhar, kena reti orang Melayu alim juga, bukan Arab
saja," katanya selepas menyampaikan kuliah mingguan di Jalan Dato' Pati,
di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Syeikh Mahmoud Abdel Ghany bahawa umat
Islam wajib menunaikan ibadat haji dan perlu mengutamakan Rukun Islam
kelima itu jika berkemampuan.
Syeikh Mahmoud Abdel Ghany turut meminta umat Islam tidak perlu
menangguhkan pelaksanaan ibadat haji semata-mata untuk menyertai pilihan
raya umum sekiranya dijalankan serentak pada musim itu.
Kenyataan tersebut bertentangan dengan Nik Abdul Aziz yang bersetuju
dengan pandangan Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang
meminta ahli Pas yang terlibat dengan pilihan raya umum menangguhkan
hasrat menunaikan ibadat haji bagi memberi tumpuan kepada pilihan raya.
Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, pihaknya
boleh membawa ulama terkenal, Dr. Yusuf Qardawi bagi menjelaskan
sokongannya terhadap demonstrasi jalanan.
"Apa kata kalau kami bawa Dr. Yusuf Qardawi ke Malaysia, Qardawi
lawan Timbalan Syeikhul Universiti Al-Azhar, sebab demonstrasi disokong
kuat Qardawi.
"Saya bukan tidak setuju dengan kenyataan Syeikh Mahmoud Abdel Ghany,
kenyataan macam itu macam nak melaga, nak adu domba antara kami pelajar
Al-Azhar dengan Syeikhul Azhar," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 23/6/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan