Abdul Rahim Mohd. Radzi Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri
*****
JOHOR BAHRU 26 Jun - Malaysia diiktiraf oleh badan antarabangsa World
Justice Project sebagai negara paling selamat di kalangan 19 buah
negara berpendapatan sederhana tinggi di dunia.
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Abdul Rahim
Mohd. Radzi berkata, malah Malaysia juga diiktiraf sebagai negara yang
ke-12 paling selamat secara keseluruhan mengatasi Amerika Syarikat dan
Britain.
“Program GTP (Program Transformasi Kerajaan) dan NKRA (Bidang
Keberhasilan Utama Negara) Mengurangkan Jenayah telah mendapat
pengiktirafan antarabangsa, contohnya Global Peace Index telah
menempatkan Malaysia di tempat pertama selamat dan aman di Asia Tenggara
serta keempat aman di kawasan Asia Pasifik," katanya.
Katanya, sehubungan itu, rakyat Malaysia seharusnya berbangga kerana tinggal dalam sebuah negara yang aman dan selamat.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutup taklimat isu-isu semasa keselamatan di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha KDN Bahagian Pendaftaran dan Imigresen, Datuk Wan Ali Besar.
Beliau memberitahu, kajian yang dijalankan oleh Universiti Islam
Antarabangsa Malaysia (UIAM) pula mendapati, hasil tindakan yang
dilakukan oleh kerajaan itu juga, kadar ketakutan rakyat negara ini
terhadap jenayah berkurangan sebanyak 12 peratus iaitu daripada 33
peratus pada tahun 2010 kepada 21 peratus pada tahun lepas.
“Mungkin ramai yang bertanya apakah kesan semua ini kepada negara.
Sebenarnya kesannya amat besar sekali, sebagai contoh pelaburan langsung
asing (FDI) Malaysia telah melonjak kepada kedudukan ke-10 tahun lepas
berbanding kedudukan ke-21 pada tahun 2010.
“Ini membuktikan keyakinan pelabur asing terhadap iklim politik, keselamatan serta kestabilan negara ini," katanya.
Beliau berkata, keadaan itu memberikan gambaran bahawa apa yang
dirancang oleh KDN selama ini dalam mengurangkan kadar jenayah telah
menampakkan hasil. - BERNAMA.
/hwa: utusan.com.my | 27/6/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan